Rabu, 9 Oktober 2019 | 9:00am
PENGALAMAN sukar mempertahankan nama membuatkan Haiza sentiasa berpijak di bumi nyata. Foto Aziah Azmee

Haiza takut lupa diri

KUALA LUMPUR: Pengalaman melalui pelbagai kesukaran dalam usaha mengekalkan nama mengingatkan artis versatil, Haiza supaya sentiasa berpijak di bumi nyata.

Pernah mendaki era selesa apabila muzik dangdut hangat diterima ketika permulaan kerjayanya, Haiza berkata, dia mendesak diri supaya berani meneroka bidang baharu apabila permintaan terhadap genre itu semakin dingin pada 1997.

“Jika bukan kerana dorongan dan sokongan kuat Jaafar Onn, tidak mungkin saya mampu bertahan hingga hari ini. Terlalu banyak jasanya yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Malah, menerusi dia juga, saya belajar memberanikan diri menjadi pengacara.

“Sedikit demi sedikit saya teroka dan gilap bakat dalam bidang itu, biarpun minat utama saya adalah nyanyian. Dia tidak lokek menghulurkan bantuan, cuma kini, kami jarang bertemu kerana komitmen kerja,” katanya.

Lebih dua dekad dalam industri hiburan, Haiza berkata, pengalaman pahit manis yang dilalui membuatkan dia tidak pernah lupa diri apabila diberikan Allah sedikit keselesaan.

Penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Dag Dig Dug itu juga percaya, doa daripada keluarga, selain restu suami memberinya kekuatan untuk terus berkongsi bakat.

“Saya pernah tidak dipandang dan dilayan dengan baik oleh segelintir pihak, tetapi ia berubah apabila nama saya kembali menyinar. Semua pengalaman itu mengingatkan saya supaya tidak menjadi seperti mereka.

“Saya selalu berdoa minta dijauhkan daripada sifat bangga diri. Saya sentiasa muhasabah diri kerana jika sudah berasakan terbaik, di luar sana, ramai lagi insan seni yang jauh lebih hebat. Semua itu mengajar saya supaya sentiasa berpijak di bumi nyata,” katanya.

Masih meneruskan perjuangan dalam dunia nyanyian dan pengacaraan, Haiza juga semakin selesa dengan rutin harian sebagai penyampai radio di Kool FM sejak empat tahun lalu.

Mengendalikan segmen pagi bersama AG dan Muaz, Haiza mengakui, kerjaya itu menuntut disiplin serta komitmen yang tinggi.

“Memang tugas saya selesai jam 10 pagi, tetapi selepas itu, saya masih mempunyai komitmen lain, termasuk memenuhi tawaran menyanyi. Sampai rumah sudah penat.

“Biarpun hanya sempat melelapkan mata seketika, jam 4.30 pagi, secara automatik saya mesti terjaga kerana perlu bersiap ke konti radio untuk membuat persiapan sebelum ke udara jam 6 pagi.

“Jika terlalu fikirkan soal mengantuk atau penat, sudah lama saya mengalah. Tetapi, apabila suasana kerja memberikan aura positif, penat itu langsung tidak terasa,” katanya.

Mengulas kerjaya nyanyian, Haiza berkata, selepas menghasilkan Young & Gentleman, dia masih menanti lampu hijau untuk keluar dengan buah tangan terbaru.

“Saya ada merakamkan lagu baharu berentak reggae dangdut ciptaan Aepul Drama Band. Memang saya berharap lagu ini dapat menemui peminat dengan segera untuk mengekalkan momentum Young & Gentleman,” katanya.

Berita Harian X