Khamis, 10 Oktober 2019 | 11:05am
LIZA masih mendapatkan khidmat guru vokal sebelum beraksi dalam persembahan besar. Foto Rosela Ismail
BERSAMA Black yang turut menjayakan National Symphony Orchestra Epic Screen Themes in Concert di Istana Budaya. Foto Rosela Ismail

Liza Hanim masuk kelas asah kembali vokal

KUALA LUMPUR: Meskipun keampuhan bakatnya sudah diakui, penyanyi bersuara lunak, Liza Hanim masih mendapatkan khidmat guru vokal untuk membimbingnya sebelum beraksi dalam persembahan besar.

Liza, 40, berkata proses pembelajaran bagi seseorang anak seni tidak pernah selesai, malah biarpun berpengalaman, dia tetap mencari ruang menimba ilmu bagi memantapkan kemunculan terbarunya.

“Saya tidak pernah anggap diri saya sudah cukup bagus kerana selama mana pun kita dalam industri, latihan dan bimbingan guru vokal banyak membantu mempertingkatkan mutu nyanyian.

“Tambahan pula, saya baru menimang anak kelima, awal tahun ini. Jadi, saya memerlukan banyak latihan untuk mendapatkan semula stamina dan mengembalikan kualiti vokal.

“Selain persembahan pada kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, bulan lalu, National Symphony Orchestra Epic Screen Themes in Concert yang akan berlangsung pada 1 dan 2 November ini juga menjadi antara persembahan terbesar saya, tahun ini,” katanya.

Bakal beraksi bersama Sean Ghazi dan Black pada konsert yang berlangsung di Istana Budaya itu, Liza berkata, dia turut berdepan cabaran apabila diberi tanggungjawab membawakan lagu tema filem Puteri Gunung Ledang, Asmaradana.

Sehubungan itu, Liza berhasrat bertemu penyanyi asal iaitu Puan Sri Tiara Jacquelina bagi bertukar pandangan sebelum menyanyikan lagu itu.

“Saya bimbang jika cara penyampaian saya tidak seperti diharapkan. Mungkin bagi sesetengah orang, lagu ini mudah untuk disampaikan, tetapi ia sebenarnya menguji, terutama saya yang lebih sinonim dengan sentuhan balada.

“Jadi, saya merancang bertemu Puan Sri (Tiara) dalam masa terdekat, pada masa sama meminta izin dan pandangannya sebelum membawakan lagu itu,” katanya.

Penyanyi lagu Mimpi itu berkata, dia juga teruja apabila dapat kembali berkongsi pentas dengan Sean Ghazi selepas 10 tahun tidak membuat persembahan bersama-sama.

“Kami akan berpadu suara membawakan lagu Gelora yang dipetik daripada filem Seniman Bujang Lapok. Saya tidak sabar menanti detik itu kerana sudah lama kami tidak berkongsi pentas,” katanya.

Persembahan mereka bakal diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di bawah pimpinan Datuk Mustafa Fuzer Nawi.

Berita Harian X