Khamis, 10 Oktober 2019 | 3:05pm
LEBIH dua dekad menjadi ibu tunggal, Nor Albaniah bersedia kembali berumah tangga jika ditakdirkan bertemu jodoh. Foto Rohanis Shukri

'Bukan cerewet tapi lelaki tak berani datang lamar'

PETALING JAYA: Pelakon, Nor Albaniah mengakui, ramai menyangka dia terlalu cerewet apabila rela menjalani hidup sebagai ibu tunggal sejak 23 tahun lalu, sedangkan hakikatnya, tiada lelaki berani datang melamar.

Katanya, pada usia mencecah 49 tahun, dia tidak malu mengakui, sudah bersedia mencari pasangan hidup untuk melayari hari tua bersama-sama.

“Saya sudah melalui pelbagai fasa kehidupan, termasuk kehilangan suami ketika perkahwinan kami baru berusia dua tahun. Saya sentiasa percaya, jodoh, maut dan rezeki adalah ketentuan-Nya, cuma berbalik sama ada cepat atau lambat.

“Siapa tahu jodoh saya hadir pada usia 50 tahun? Dahulu, saya sibuk membesarkan anak tunggal, Syarra, tetapi apabila usianya menganjak 24 tahun, membuatkan saya terfikir untuk berumahtangga semula.

“Apabila saya sudah bersedia, jodoh pula belum tiba. Saya tidak kisah kalau ada yang mengejek, sudah tua pun masih mahu berkahwin. Terpulang pada pendapat masing-masing,” katanya.

Terdahulu, suaminya yang juga pelumba kereta, Sudarman Daud meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 1996, manakala Albaniah cedera parah pada bahagian kepala.

Ditemui pada sesi prebiu filem terbarunya, Kolong, pelakon yang terkenal dengan imej seksi pada era 1990-an itu masih kekal langsing dan menawan.

Membawakan watak ibu dalam filem seram arahan Zul Abu Kassim, pemilik nama sebenar Nor Albaniah Raffie itu tidak memilih karakter, sebaliknya bersedia menggalas apa juga peranan yang bersesuaian usia.

“Kita perlu lihat daripada sudut kreatif. Semua watak penting, sama ada menjadi pelakon utama atau pembantu. Sebagai pelakon, kita perlu menonjolkan sesuatu karakter supaya diingati penonton.

“Dalam filem yang turut membariskan pelakon Indonesia ini, saya menjadi ibu buta yang bergantung harap kepada dua anak. Watak itu memang kuat dan memberi impak kepada penonton, jadi kenapa tidak saya rebut peluang itu?

“Lagipun, watak itu bersesuaian usia saya. Ketika zaman kegemilangan dahulu, saya sudah puas membawakan pelbagai karakter.

“Berilah ruang kepada pelakon baharu pula mencuba. Sebagai anak seni berpengalaman, saya sentiasa sedar diri,” katanya.

Kolong yang turut membariskan Wan Raja, Joey Daud, Izzy Riff, Luthya Suri dan Vanessa Angel bakal ditayangkan di pawagam bermula 17 Oktober ini.

Berita Harian X