Jumaat, 11 Oktober 2019 | 11:51pm
Suami Kaka, Adam berkongsi berita gembira kelahiran bayi sulung mereka, petang tadi. - Ihsan IG Adam Azriff

'Hero' serikan hidup Kaka, suami

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Kaka Azraff selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.7kg sekitar jam 2.14 petang tadi.

Menerusi perkongsian yang dibuat oleh suami Kaka, Adam Azriff, penyanyi yang baharu saja tampil dengan single berjudul Diamonds itu stabil namun memerlukan rehat mencukupi.

"Alhamdulillah...Terima kasih di atas sokongan dan doa semua pihak.

"Semuanya lancar. Isteri yang disayangi juga stabil dan cahaya mata sulung kami selamat dilahirkan dalam keadaan sihat dan cukup sifat.

“Ini adalah hari yang paling bahagia buat saya, isteri dan keluarga kami," katanya melalui video yang dimuat naik bersama butiran kelahiran putera sulung mereka itu.

Melalui komen yang dikongsi ahli keluarga mereka, Kaka melahirkan cahaya mata sulungnya itu menerusi kaedah pembedahan.

Peminat, rakan selebriti dan keluarga turut mengucapkan tahniah kepada Kaka dan suami. Mereka juga menantikan pengumuman nama dan wajah bayi itu.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 30, dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember tahun lalu.


Kaka bersama suami, Adam Azriff. - NSTP/Faiz Anuar

Berita Harian X