Selasa, 15 Oktober 2019 | 1:00pm
Tajul mengaku merahsiakan perkahwinan demi menjaga privasi isteri dan keluarga. Foto NSTP Nur Adibah Ahmad Izam

Tajul ada sebab rahsiakan perkahwinan

KUALA LUMPUR: Bakal menimang anak sulung pada akhir bulan depan, pelbagai spekulasi menyelubungi penyanyi muda, Tajul Ariff berikutan perkahwinan rahsianya.

Hampir dua tahun mengunci mulut mengenai perkara itu, baru-baru ini, Tajul, 21, mengakui sudah menamatkan zaman bujangnya dengan Nurul Shamieza Eddie, 23, pada 10 Disember 2017.

Sebelum ini, biarpun berulang kali persoalan itu diajukan, penyanyi yang popular dengan lagu, Sedalam-Dalam Rindu itu mengambil pendirian menafikannya.

Penyanyi kelahiran Felda Sendayan, Negeri Sembilan itu ada alasan tersendiri mengapa tidak berterus terang sebelum ini.

“Saya terpaksa merahsiakan status perkahwinan atas permintaan isteri yang mahukan privasi. Saya tidak mahu privasi keluarga terganggu apabila warganet mula mencampur-aduk antara kehidupan peribadi dan kerjaya seni.

“Tambahan pula, saya berkahwin ketika nama sedang menjadi bualan. Bimbang juga jika kehilangan peminat ketika langkah baru bermula.

“Saya tidak berniat menyorok atau menipu peminat, malah perkahwinan kami diketahui keluarga, selain pengurusan dan rakan artis yang rapat,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, isu perkahwinan Tajul semakin hangat diperkatakan apabila rakaman video Tajul mengakui dirinya sudah menjadi suami tersebar, Jun tahun lalu.

Dalam rakaman itu, Tajul atau nama lengkapnya Tajul Ariff Noor Md Shari menyebut perkataan ‘wife’, merujuk kepada Nurul Shamieza yang berada di sebelahnya.

Isu itu kembali diperkatakan apabila peminat menghantar sekeping foto Tajul memeluk wanita yang sedang hamil kepada wartawan dan meminta penjelasannya.

Ditanya apakah keputusan berkahwin pada usia muda iaitu 19 tahun sebagai tindakan terburu-buru, apatah lagi dirinya di puncak populariti, Tajul berkata:

“Saya percaya, apabila jodoh tiba, tiada apa yang perlu ditunggu lagi. Saya terima dengan hati terbuka. Saya tidak terburu-buru membuat keputusan besar dalam hidup.

“Sebelum ini, arwah bapa mentua sering berpesan supaya kami segera mendirikan rumah tangga. Baginya, tidak manis kami selalu bertemu tanpa ikatan yang sah.

“Cuma, saya agak terkilan kerana Allahyarham tidak sempat melihat kami disatukan. Namun, saya sudah kotakan janji dengan berkahwin dan memikul tanggungjawab menjaga Nurul Shamieza,” katanya.

Tambah Tajul, isterinya tidak pernah menemani dirinya memenuhi undangan persembahan.

“Isteri tidak mahu dihambat perasaan cemburu apabila peminat mendekati saya. Namun, saya tidak sekali-kali mengabaikan tanggungjawab sebagai suami. Jika ada masa terluang, kami akan keluar berdua.

“Apabila ditanya peminat, saya akan maklumkan, dia isteri saya. Saya tidak berahsia jika di bertemu khalayak. Lagipun, saya tidak mahu peminat salah faham melihat kemesraan kami,” katanya.

Berita Harian X