Ahad, 20 Oktober 2019 | 8:19pm
Jasmin bersyukur anaknya, Rohanna semakin pulih daripada trauma. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

'Lega ramai dah sedar'

KUALA LUMPUR: Pelakon Jasmin Hamid lega tindakan mengemukakan saman fitnah terhadap individu yang didakwa menghina wajah anak angkatnya, memberi kesan positif apabila berjaya menimbulkan kesedaran ramai terhadap buli siber.

Jasmin, 46, berkata, biarpun segelintir pihak mendakwa dia sengaja meraih perhatian, namun ramai meminta nasihat mengenai cara berdepan situasi sama.

“Saya dapati ramai tidak tahu undang-undang negara ada klausa untuk kes buli siber. Masyarakat menganggap komen berbaur kecaman yang melampau-lampau sangat remeh dan kita tidak perlu beriya-iya mengambil tindakan.

“Saya harap lebih ramai lagi yang tampil mengambil tindakan tegas terhadap pembuli siber. Bawa mereka ke muka pengadilan supaya orang lain tidak kena,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Jasmin dilaporkan mengemukakan saman fitnah terhadap tiga individu yang menghina wajah anak angkatnya, Rohhana Abdul Hamid di media sosial.

Jasmin berkata, selain mahu mengembalikan maruah Rohanna, dia mahu mendidik orang ramai mengenai cara berkomunikasi dan berkongsi komen.

Mengenai keadaan Rohanna, Jasmin berkata, anaknya semakin pulih daripada trauma.

“Alhamdulillah, nasib dirinya makin terbela. Dia juga semakin pulih daripada trauma.

“Sebagai ibu, pastinya hati saya sakit dan terluka apabila anak dikecam tanpa sebab. Mestilah saya akan bangkit dan lawan individu yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya yang beraksi dalam filem terbaru, Anak Perjanjian Syaitan.

Berita Harian X