Selasa, 22 Oktober 2019 | 3:04pm
IZREEN semakin tenang meniti hidup bersama dua cahaya mata. - NSTP/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA

'Biarlah jika mereka masih mahu menghukum'

KUALA LUMPUR: Pelakon, Izreen Azminda kekal dengan keputusannya untuk tidak membuka ruangan komen di laman sosial, Instagram bagi mengelak peminat berbalah.

Pelakon filem Otai, Nana Tanjung 2, Pecah dan Pak Pong itu berkata, dia tidak mahu menjadi punca yang mencetus perbalahan, malah enggan mengundang dosa orang lain apabila mereka berterusan ‘bercakaran’ di media sosial.

“Bukan saya takut dicemuh, cuma saya tidak suka melihat pengikut berbalah sesama mereka di laman sosial. Jika saya membuka ruangan komen itu, saya diibaratkan seperti menjadi pencetus pergaduhan.

“Saya tidak perlukan pendapat orang luar dalam kehidupan. Cukup suami dan keluarga ada di sisi ketika saya memerlukan mereka.

“Apabila ramai yang memberikan pendapat, ia bukan menjadi lebih baik, sebaliknya menyemarakkan lagi api yang sedang membahang. Tidak perlu buat spekulasi mengenai kehidupan orang lain,” katanya.


BIARPUN hatinya terguris menelan pelbagai cemuhan, Izreen belajar untuk reda meniti ujian itu. - NSTP/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA

Wanita kelahiran Kangar, Perlis berusia 33 tahun itu berkata, ‘tsunami’ yang melanda hidupnya sejak dua tahun lalu juga banyak mengubah sikapnya.

Akur dugaan itu terlalu berat untuk dihadapinya dan suami, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, terutama pada permulaan, Izreen berkata, dia tidak lagi melihat ujian itu dari sudut negatif.

“Banyak perkara yang saya belajar selepas berdepan ujian dalam hidup. Dahulu, saya panas baran dan tidak boleh membiarkan orang lain memperlekeh diri. Tetapi kini, saya menjadi lebih sabar.

“Saya biarkan sahaja orang luar menghukum dan tidak lagi mempertahankan diri. Ujian itu juga sebenarnya membuka mata saya mengenai harga kejujuran dan persahabatan,” katanya.

Ibu kepada Adrian Umar, 6, dan Aaron Ibrahim, empat bulan itu berkata, biarpun hatinya terhiris apabila segelintir warganet mendoakan perkara buruk berlaku dalam kehidupannya, dia reda melaluinya.

“Kesabaran saya itu terjawab apabila menerima mesej peribadi daripada pihak tertentu yang meminta maaf. Segala cacian dan makian terhadap saya dahulu akhirnya memakan diri mereka.

“Saya akui, ada kalanya saya takut membaca setiap kecaman yang diluahkan membuta tuli di laman sosial. Jangan kerana terlalu mengikut perasaan, segala cemuhan itu akhirnya nanti memakan diri,” katanya.

Berita Harian X