Sabtu, 2 November 2019 | 6:00pm
PENYANYI, Hael Husaini, menerima sebuah kenderaan mewah daripada syarikat pengurusan atas hasil kerja kerasnya selama ini. - Foto Instagram Hael Husaini
PENYANYI, Hael Husaini, menerima sebuah kenderaan mewah daripada syarikat pengurusan atas hasil kerja kerasnya selama ini. - Foto Instagram Hael Husaini

Hael terduduk dapat kenderaan mewah

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Hael Husaini, 32, terduduk sebaik dimaklumkan Toyota Vellfire hitam berhias reben merah di hadapannya adalah hadiah daripada syarikat pengurusannya.

Wakil Virus Ungu Entertainment, Anne Farina, berkata kenderaan pelbagai guna (MPV) itu menjadi tanda penghargaan syarikat di atas segala kerja keras artis terbabit.

Bagi memastikan Hael tidak dapat menghidu perancangan berkenaan, dia kononnya dijemput hadir ke ruang pameran syarikat kenderaan terbabit di Petaling Jaya, Selangor, semalam, atas urusan kerja.

“Kami maklumkan dia kena datang ke ruang pameran ini untuk membuat ulasan berkenaan kenderaan yang diedarkan syarikat terbabit.

“Memang dia tak banyak soal dan bersetuju melakukan tugasan itu. Beberapa minit selepas sampai, kami jerit ‘surprise’ dan Hael tampak terkejut serta tergamam,” katanya menerusi perkongsian di IG Story.

Istimewanya, plet kenderaan berkenaan juga ditempah khas, yang kelihatan seakan-akan nama kedua penyanyi Jampi itu jika dirapatkan.

Bersandarkan harga pasaran semasa, kenderaan premium tujuh tempat duduk baharu itu berharga sekitar RM300,000.

Populariti Hael memuncak apabila lagu nyanyian dan ciptaannya, Jampi, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) 32.

Dia mengulangi pencapaian hebat berkenaan menerusi lagu Haram, duetnya bersama Dayang Nurfaizah, pada AJL 33.

Namanya terus gah di arena penciptaan lagu dengan satu persatu karyanya memancing perhatian khalayak, terutama menerusi Anta Permana nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang dihasilkan bersama Ezra Kong.

Berita Harian X