Khamis, 7 November 2019 | 9:00am
Eylia mendakwa dirinya pernah dikutuk ‘remaja obesiti’ ketika berusia 15 tahun. Foto NSTP Aziah Azmee

'Lagi kutuk, lagi semangat'

KUALA LUMPUR: Berat badan mencecah 90 kilogram, bakat baharu, Eylia Guntabid mengaku pernah dikecam ‘remaja obesiti’ ketika berusia 15 tahun.

Mengharumkan nama negara apabila meraih lima pingat termasuk empat emas dalam pertandingan Championship of Performing Arts (WCOPA) 2019 di Amerika Syarikat (AS), Julai lalu, Eylia menjadikan kata nista netizen sebagai pembakar semangat dalam memburu impian sebagai penyanyi.

“Saya pernah menyertai program nyanyian, Ceria Popstar pada 2016, namun gagal mara ke peringkat akhir.

“Bercerita mengenai komen netizen, saya pernah dikecam kerana susuk tubuh yang besar ketika itu.

“Netizen mempersoalkan bagaimana saya hendak menjadi penyanyi dengan tubuh gemuk dan wajah begini. Tipulah jika tidak sedih, namun saya bangkit untuk memperbaiki kelemahan diri dengan mengurangkan berat badan,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi regim mendapatkan tubuh langsing, Eylia berkata, dia menurunkan berat badan sehingga 55 kilogram melalui diet dan senaman.

“Saya jogging sebanyak empat hingga lima kali seminggu selain sentiasa memantau berat badan,” katanya.

Bakal menginjak usia 18 tahun akhir bulan ini, Eylia mengharumkan nama Malaysia apabila membawa pulang empat pingat emas dan satu perak di WCOPA 2019 di Long Beach, California.

Juara program Bintang Remaja RTM Sabah 2017 itu merangkul empat pingat emas bagi kategori vokal R&B, vokal dunia, vokal terbuka dan vokal gospel.

Dalam perkembangan lain, Eylia tampil dengan single pertama yang berjudul Aku Masih Cinta ciptaan Jasni dan lirik dihasilkan Mah pada 16 Oktober lalu.

Penyanyi muda ini menandatangani kontrak bersama Broadway Entertainment sebelum bertanding di WCOPA 2019.

Berita Harian X