Khamis, 7 November 2019 | 1:00pm
HAEL masih mencari penyanyi bersesuaian untuk menggantikan Siti Nurhaliza pada Separuh Akhir Muzik Muzik 34. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Spekulasi Bob ganti Siti: Hael belum buat keputusan

KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi, Hael Husaini, memaklumkan masih belum membuat keputusan mengenai pemilihan penyanyi yang bakal menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza membawakan lagu Anta Permana pada persaingan Separuh Akhir Muzik Muzik 34.

Akur keputusan Siti untuk tidak kembali bertanding pada acara itu, Hael bagaimanapun, enggan mengesahkan spekulasi pemilihan penyanyi Bob Yusof yang dikatakan bakal menggalas tanggungjawab itu.

“Saya dan Ezra Kong masih menunggu kata putus daripada semua pihak yang terbabit, jadi tidak timbul isu saya masih berharap Siti membawakan lagu itu.

“Saya menerima keputusan Siti untuk tidak lagi bertanding pada Anugerah Juara Lagu. Tidak mudah sebenarnya mencari penyanyi ganti.

“Secara peribadi, saya tidak berani menggalas tanggungjawab itu kerana tidak yakin mampu membawakan Anta Permana sebaik Siti.

“Kami mencari penyanyi yang mempunyai jiwa dan mampu membawa lagu itu dengan baik. Siapa yang bakal menjadi pilihan kami, jawapannya akan diketahui pada hari persaingan nanti,” katanya.


HAEL bersama Dayang kembali dengan lagu duet Hari Ini. -NSTP/Asyraf Hamzah

Sementara itu, Hael turut teruja menanti reaksi peminat apabila mempertaruhkan single Hari Ini, versi duet bersama Dayang Nurfaizah.

Hael berkata, Hari Ini dipilih sebagai lagu tema program Mahligai Cinta siaran TV3, selain turut menemui penonton menerusi portal digital terbaru, www.mahligaicinta.my.

“Projek itu memerlukan saya menyanyi bersama pasangan duet. Saya tidak fikir panjang dan terus memilih Dayang kerana kami sudah serasi.

“Memang ada yang bertanya, kenapa kami tidak merakamkan lagu baharu. Perkara itu masih dalam perancangan dan insya-Allah, akan ada projek kami bersama lagi selepas ini,” katanya.

Diusik persoalan mengenai kemesraan mereka, Hael berkata, ramai yang mendoakan dia dan Dayang akan menjadi pasangan kekasih serta berharap ia berpanjangan menuju alam perkahwinan.

“Kami hanya melakukan tugas sebagai penyanyi dan berusaha memberikan sebaik mungkin ketika penggambaran video muzik lagu itu. Hubungan kami masih berlandaskan profesional.

“Secara peribadi, saya selesa dengan Dayang, malah dia banyak membantu memudahkan urusan kerja setiap kali diperlukan. Saya tidak berani meramalkan masa depan. Doakan sahaja yang baik-baik,” katanya.

Berita Harian X