Jumaat, 8 November 2019 | 8:59am
PELAKON, Sheila Rusly (kiri) dan Ayda Jebat, menunjukkan demonstrasi masakan pada majlis pelancaran produk perkakasan dapur dan memasak sebuah jenama terkenal di Sogo KL. - NSTP/Mustaffa Kamal

Sheila buka restoran dim sum

KUALA LUMPUR: Biarpun pernah terpalit kontroversi berikutan kegagalan perniagaan restoran nasi dagang, ia tidak melunturkan semangat pelakon dan penerbit, Sheila Rusly, untuk terus mengusahakan perniagaan makanan.

Penghujung bulan lalu, Sheila yang turut dikenali sebagai pengacara program masakan membuka sebuah restoran dim sum di Desa Pandan, di sini.

Katanya, dia terpanggil mengusahakan restoran francais dari Singapura itu apabila menyedari tidak banyak kedai dim sum halal diusahakan di negara ini.

"Jika restoran terbabit mendapat sambutan dalam kalangan peminat dim sum, kami tidak teragak-agak untuk membuka lebih banyak cawangan di seluruh negara, mulai tahun depan.

"Ramai orang Melayu yang mula menggemari makanan berkenaan, tetapi untuk mendapatkan produk betul-betul sedap dan halal memang sukar.

“Jadi, dengan adanya restoran disahkan halal, orang Islam lebih teruja untuk menikmati dim sum yang sedap tanpa ragu-ragu lagi," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk perkakasan dapur dan memasak sebuah jenama terkemuka, di sini, baru-baru ini.

Sheila turut memberi jaminan harga dim sum yang ditawarkan di restorannya amat munasabah, berpatutan dan mampu dibeli.

Terdahulu, Sheila melahirkan rasa gembira kerana diberi peluang untuk menjadi duta produk barangan perkakas dapur berkenaan bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.

Berita Harian X