Sabtu, 9 November 2019 | 9:03am
PELAKON, Wan Hanafi Su, akan muncul dengan filem Garang, bulan depan. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Jangan cepat rasa diri hebat - Wan Hanafi Su

PETALING JAYA: Pelakon berpengalaman, Wan Hanafi Su, 69, berpesan agar pelakon muda tidak mudah berpuas hati dengan populariti yang dikecapi dalam dunia seni.

Sebaliknya, dia mahu melihat golongan pelapis dalam bidang terbabit terus mencari ilmu bagi memantapkan lagi kemampuan, selain menjaga disiplin diri.

“Saya perhatikan, beberapa pelakon muda memang berpotensi untuk melangkah lebih jauh dalam lakonan. Cuma, saya tidak berani memetik nama kerana enggan menyinggung mana-mana pihak.

“Biarpun mempunyai potensi untuk terus berkembang, saya berharap masing-masing tidak terikut-ikut dengan apa yang ada di sekeliling mereka.

“Lebih penting, jangan cepat berasakan diri sudah ‘menjadi’, atau bergelar bintang dan terkenal. Mereka perlu tanam sikap ingin belajar dan menggali ilmu dalam diri kerana lakonan bukan bidang yang boleh diajar. Mungkin (boleh diajar) dari aspek teori, tetapi bukan dari segi praktikal,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama pelakon filem Garang, di sini.

Garang terbitan Sakti Films Sdn Bhd bakal menemui penonton di seluruh negara pada 5 Disember ini. Selain dirinya, filem yang mengangkat tema semangat juang golongan kelainan upaya itu turut dibintangi oleh Jalil Hamid, Ahmad Maembong, Adam Lee, Chacha Maembong, Pablo Amirul dan ramai lagi.

Pelakon itu turut menegaskan, dia kurang berkenan apabila nilai populariti seseorang artis ditentukan oleh jumlah pengikut di media sosial.

“Saya berpendapat, media sosial adalah benda berbahaya kerana menjadi viral tidak semestinya sesuatu yang bagus,” katanya ketika mengulas senario industri seni, ketika ini.

Sementara itu, pelakon berasal dari Terengganu itu berkata, selepas menghadiri tayangan filem lakonannya, Apprentice, di Cannes, Perancis, pada 2016, agak lama dirinya tidak menerima tawaran.

“Ada pihak beranggapan saya mengenakan harga tinggi selepas pulang dari sana, sedangkan ia tidak pernah berlaku. Saya kecewa kerana mereka tidak pernah menghubungi saya, sebaliknya membuat andaian sendiri.

“Bayaran adalah perkara privasi. Saya sendiri takkan memberitahu berapa harga saya, kerana lazimnya saya akan bertanya mengenai bajet. Cuma, jangan sampai menghina dengan membayar seseorang pelakon terlalu rendah.

“Dalam hal ini, saya menyalahkan pihak penerbit kerana mereka sendiri boleh menilai. Takkan harga yang hendak ditawarkan kepada pelakon baharu lebih tinggi daripada orang lama?” katanya.

Berita Harian X