Sabtu, 9 November 2019 | 11:30am
Penyanyi, Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini ketika mengadakan persembahan pada Anugerah Skrin 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - NSTP/Asyraf Hamzah

'Duet dengan Dayang lebih romantis'

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Hael Husaini, menganggap lagu Hari Ini versi duet bersama Dayang Nurfaizah lebih romantis berbanding dendangan secara solo.

Mengakui kedua-duanya mendapat sambutan berbeza daripada peminat, dia bagaimanapun berasakan dendangan secara paduan suara lebih istimewa.

“Sambutan bagi kedua-dua versi lagu terbabit agak berbeza. Bagi Hari Ini versi duet, umpamanya, ia dilihat lebih melengkapi kerana dialunkan oleh penyanyi lelaki dan wanita.

“Ia juga lebih romantis berbanding versi solo. Malah, genrenya juga berbeza,” katanya ketika ditemui pada sebuah acara hiburan, di sini.

Penyanyi itu berkata, lagu duet berkenaan adalah projek istimewa dirinya bersama Dayang dan TV3.

“Hari Ini dipilih sebagai lagu tema program Mahligai Cinta siaran TV3. Namun, projek terbabit memerlukan saya menyanyi secara duet. Tanpa berfikir panjang, saya memilih Dayang. Apatah lagi keserasian antara kami sudah terpancar menerusi lagu Haram.

“Begitupun, ada yang bertanya, kenapa tidak kami merakamkan lagu baharu sahaja? Sebenarnya, ia adalah pilihan pihak stesen penyiaran itu sendiri. Insya-Allah, selepas ini tetap ada perancangan untuk kami berpadu suara menerusi karya baharu,” kata Hael yang mula mengecap populariti menerusi lagu Jampi.

Hael akui akan terus merakamkan lagu duet dengan Dayang. - NSTP/Rohanis Shukri

Diusik dengan persoalan mengenai hubungan mereka kini yang dilihat semakin akrab, seperti pasangan kekasih, Hael tersipu-sipu malu.

“Kami hanya menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam apa juga tugasan diberikan, termasuk ketika menjalani penggambaran video muzik lagu terbabit.

“Kami juga selesa bekerjasama, malah cukup memahami antara satu sama lain. Dayang sendiri dia seorang kawan yang baik.

“Saya bagaimanapun tidak mampu membuat sebarang jangkaan jika ditanya lebih-lebih dalam soal hubungan kami. Doakan sahaja yang baik-baik,” katanya.

Berita Harian X