Khamis, 14 November 2019 | 8:10pm
ADNAN bersyukur apabila isterinya dikatakan berhasrat mahu menarik balik permohonan cerai. - Foto IG Datuk Red

'Syukur kalau Adira tarik balik permohonan cerai'

KUALA LUMPUR: “Kalau ditanya mengenai keputusan Adira yang berhasrat menarik balik permohonan cerai, sudah tentu saya bersyukur.

“Selepas prosiding mahkamah tempoh hari, kami saling bermuhasabah. Selepas berbincang, rasanya ini adalah keputusan terbaik, tambahan pula anak kami masih kecil.

“Kami tidak mahu anak membesar tanpa mengenali bapa mereka,” demikian kata suami penyanyi Adira Suhaimi, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red mengenai desas-desus keputusan isterinya yang didakwa menarik balik permohonan cerai terhadap usahawan itu.

Adnan terlebih dahulu berkongsi muat naik tangkap layar perbualan WhatsApp dipercayai Adira bersama seorang wanita dikenali sebagai Fira menerusi InstaStory, pagi tadi.

Dalam perbualan itu, Adira dikatakan memberitahu Fira, dia berhasrat menarik balik permohonan perceraian demi tiga anaknya.

Adnan yang ada bersama Adira ketika dihubungi petang tadi, mengakui tangkap layar itu dihantar sendiri oleh penyanyi itu.

“Saya tidak berani mengesahkan perkara itu, tetapi apa yang boleh saya katakan, Adira sendiri yang menghantar tangkap layar perbualan dengan peguamnya itu,” katanya.

Tambah Adnan lagi, selepas prosiding mahkamah, hubungan mereka masih baik dan tidak pernah tinggal berasingan.

Penyanyi berusia 28 tahun itu memfailkan perceraian terhadap Adnan, 49, pada 1 April lalu, tetapi permohonan itu dibantah ahli perniagaan terbabit.

Pada 9 Oktober lalu, pasangan itu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Barat bagi perbicaraan permohonan cerai.

Hakim Mohd Faizal Habib bagaimanapun, menetapkan 17 Disember ini sebagai tarikh sebutan hakam kes perceraian itu.

Adnan dan Adira bernikah di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Anggrek, 2; Assan, 1 tahun dua bulan dan Anggun, tiga bulan.

Berita Harian X