Selasa, 19 November 2019 | 11:00am
Syatilla menafikan Sam menghalangnya daripada terus aktif dalam dunia seni. Momen dirakam ketika pasangan ini mengabadikan kenangan kejayaan Sam pada Anugerah Skrin (ASK) 2018. Foto NSTP Aziah Azmee

'Berniaga lagi untung...'

KUALA LUMPUR: Sejak berkahwin dengan Shaheizy Sam dan dikurniakan dua cahaya mata, Syatilla Melvin mengaku belum ada keinginan untuk kembali berlakon.

Menafikan suami menghalang niatnya kembali aktif, Syatilla berkata, kesibukan mengasuh anak selain tumpuan terhadap perniagaan kosmetik yang diusahakan bersama adik-beradik membataskan peluang untuk dirinya kembali ke lokasi penggambaran.

“Tidak benar suami melarang... Sam tahu minat saya dalam dunia lakonan. Cuma karier ini menuntut masa yang banyak di lokasi penggambaran. Kami sama-sama tahu betapa penatnya berlakon.

“Selepas berkahwin dan memiliki anak, tumpuan beralih pula kepada dunia perniagaan. Pada masa sama, Sam tidak mahu saya hilang fokus dalam mengasuh anak.

“Bayangkan kalau kami sama-sama aktif berlakon? Bagaimana pula masa untuk anak-anak. Jadi, sekurang-kurangnya, kalau Sam sahaja aktif, saya boleh menjaga anak.

“Kami bertolak ansur dalam soal ini. Sam tidak mahu saya letih berlakon, biarlah dia tanggung sendiri,” katanya kepada BH Online.

Tambah Syatilla, dia sibuk berniaga sejak Mei lalu.

“Rupa-rupanya seronok berniaga... Pulangan cukup baik. Sebenarnya, berlakon pun tak dapat hasil seperti berniaga,” katanya.

Syatilla dan Sam mendirikan rumah tangga pada 8 Februari 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syeriv Samheizy yang berusia hampir tiga tahun dan Sarima Samheizy, tujuh bulan.

Berita Harian X