Rabu, 20 November 2019 | 1:01pm
PENYANYI, Liza Hanim, bersyukur dianugerahkan seorang lagi putera yang dilahirkan pada Januari lalu. - NSTP/Rosela Ismail
PENYANYI, Liza Hanim, bersyukur dianugerahkan seorang lagi putera yang dilahirkan pada Januari lalu. - NSTP/Rosela Ismail

Cukuplah lima orang - Liza Hanim

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Liza Hanim, tidak berhasrat untuk menambah bilangan cahaya mata selepas kelahiran anak kelimanya, Muhammed Al Fateh, penghujung Januari lalu.

Menurut Liza atau nama penuhnya Haliza Hanim Abdul Halim, angka lima sudah cukup ideal buat dirinya dan suami, sekali gus menyempurnakan lagi rumah tangga yang dibina sejak 16 tahun lalu.

“Pada awalnya, kami ingatkan rumah tangga akan dihiasi empat permata hati. Syukurlah, Allah menganugerahkan kami seorang lagi zuriat, Fateh, Januari lalu.

“Apabila ada si kecil ini, ia bagaikan membawa keceriaan buat kami sekeluarga. Saya amat bersyukur kerana dia disayangi oleh abang dan kakaknya yang lain.

“Mengenangkan komitmen kerja dan pelbagai perancangan lain yang sudah diatur untuk saya, nampak gayanya memang kena ‘tutup kilang’. Saya pun sudah maklumkan perkara itu kepada suami. Cukuplah lima orang. Bagi saya, jumlah itu sudah memadai,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi yang popular dengan lagu Gelisah Mimpi ini berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran jenama tudung Cuvert X Liza Hanim di Ara Damansara, di sini.

Liza turut meraikan ulang tahunnya yang ke-40 pada majlis berkenaan, yang dimeriahkan kehadiran teman artis seperti Aishah, Nur Fatimah dan bekas protegenya, Dewi Liana Seriestha.

Hasil perkongsian hidup dengan bekas anggota kumpulan Indigo, Mohamed Shahrin Samsudin, pasangan selebriti terbabit turut dikurniakan Marsya Qistina, 16, Marissa Qalreen, 10, Mohamed Salahuddin, 8, dan Mohamed Ibrahim, 4.

Berita Harian X