Jumaat, 22 November 2019 | 8:41pm
PENYANYI, Baby Shima. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Saya tak kenal Drama Band - Baby Shima

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nor Ashima Ramli atau Baby Shima, 27, tidak berasakan video muzik terbaru kumpulan Drama Band, Satu Satu, ditujukan kepada dirinya.

Kata penyanyi lagu Pura-Pura Bujang itu, babak pergaduhan dipaparkan dalam video muzik itu mungkin secara kebetulan sama dengan insiden pernah tercetus antara dirinya dengan seorang usahawan kosmetik pada sebuah majlis di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Bagaimanapun artis yang sedang mencipta nama di negara jiran itu berkata, dia tidak mengenali kumpulan terbabit.

"Sebenarnya, saya tidak kenal pun kumpulan Drama Band kerana sejak dua tahun lalu saya menetap di Jakarta. Saya juga tidak tahu menahu mengenai video muzik itu, malah hanya menontonnya selepas dihubungi BH Online.

"Jujurnya, saya tidak pasti apa niat sebenar mereka? Tetapi, jika mereka memang sengaja berbuat demikian, maknanya kumpulan itu juga gilakan populariti, tetapi menggunakan cara berbeza.

"Tidak kisah apa orang nak kata, saya yang mengalami peristiwa itu dan hanya saya yang tahu perkara sebenar. Benda pun sudah berlaku dan terpulanglah kepada mereka hendak buat apa," kata Shima yang berada di Alor Setar, Kedah, kerana memenuhi undangan persembahan ketika dihubungi BH Online.

Video muzik Satu-Satu yang baru dilancarkan, Isnin lalu, berkisar pada sikap sesetengah individu yang sanggup berbuat apa sahaja demi mengejar populariti.

Selepas beberapa hari dilancarkan, video berkenaan meraih hampir setengah juta tontonan.

Drama Band yang dianggotai oleh Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir dan Nik Adib sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi menerusi video muzik lagu Drama, yang seakan-akan menyindir beberapa selebriti tanah air seperti Haqiem Rusli, Aliff Aziz dan Haneesya Hanee.


KUMPULAN Drama Band ketika beraksi pada separuh akhir pertama Muzik-Muzik 34 di Seri Pentas 2, Plaza Alam Sentral. - NSTP/Saddam Yusoff

Dilancarkan sembilan bulan lalu, video muzik itu sehingga kini ditonton sebanyak 9.3 juta kali.

Drama turut diumumkan sebagai lagu terbaik pada saingan minggu pertama separuh akhir Muzik-Muzik 34, Jumaat lalu.

Berita Harian X