Selasa, 3 Disember 2019 | 6:30pm
Emma semakin pulih dan menunggu kebenaran doktor untuk pulang berehat di rumah. - IG Emma Maembong

Emma tak cukup rehat

KUALA LUMPUR: Bermula dengan demam panas disusuli jangkitan bakteria, Emma Maembong terpaksa akur tubuhnya perlu berehat hingga dirawat di sebuah pusat perubatan di sini, sejak dua hari lalu.

Bersyukur dirinya makin stabil, Emma memberitahu, dia mungkin tidak cukup rehat hingga kesihatan terjejas.

“Alhamdulillah, saya sudah stabil. Semuanya bermula dengan demam panas dan jangkitan bakteria. Sesekali datang sakit, kita tak mampu menduga bagaimana jadinya.

“Namun, saya bersyukur keadaan semakin okay. Saya selalu teringat, sakit ini penghapus dosa,” katanya kepada BH Online.

Emma berkata, dia lebih banyak tidur di hospital bagi mendapatkan rehat yang cukup.

“Saya bersyukur sentiasa dikunjungi teman rapat dan ahli keluarga sejak dimasukkan ke hospital,” katanya.

Emma berkata, dia menunggu kebenaran doktor untuk pulang dan berehat di rumah.

“Pada bila-bila masa saya dibenarkan pulang. Insya-Allah saya akan berehat secukupnya sebelum kembali bekerja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Emma puas watak gadis ‘psiko’ iaitu Emilia dalam drama Cemburu Seorang Perempuan yang dilakonkannya, dipuji ramai.

“Selepas lama diberi karakter baik, mangsa keadaan dan gadis ‘sweet’, watak Emilia memberi dimensi baru dalam kerjaya seni saya sejak tujuh tahun lalu.

“Saya bukan sekadar mencari watak utama, sebaliknya antagonis menjadi idaman,” katanya yang turut membintangi filem Garang.

Berita Harian X