Khamis, 5 Disember 2019 | 3:09pm
Isteri Allahyarham Nassier, Datin Fatimah Abd Rauf dan anak mereka, Intan Najihah pada majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islan Bukit Batu Belah. Foto NSTP Roslin Mat Tahir

Nassier sembunyi sakit

KUALA LUMPUR: Allahyarham Datuk Nassier Wahab menyembunyikan kesakitan yang ditanggung selama ini kerana tidak mahu melihat teman-teman sedih dan bersusah hati.

Sahabat karib, Datuk Seri Shah Rezza memberitahu, beliau adalah teman artis pertama yang dimaklumkan Allahyarham dirinya bertarung dengan kanser rahang, tahun lalu.

“Arwah tak mahu orang lain tahu. Dia mahu dilihat sihat seperti biasa. Arwah beritahu dia risau kalau kawan-kawan terkejut dan bersedih.

“Selepas arwah beritahu saya, dia maklumkan pula kepada Salwa Abdul Rahman. Siapa tidak sedih apabila mendapat tahu teman akrab sedang berlawan kanser tahap empat.

“Saya menangis... Ketika itu, arwah tidak mahu menjalani pembedahan biarpun dinasihatkan doktor kerana boleh merebak ke otak,” katanya kepada BH Online.

Shah Rezza berkata, ketika kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, Mei lalu, Nassier datang memberi penghormatan terakhir biarpun dirinya dalam kesakitan.

“Arwah mahu berarak tetapi saya berpesan, jangan ikut kerana apabila kena panas, sakitnya bertambah teruk,” katanya.

Shah Rezza berkata, mereka selalu berhubung dan arwah tidak pernah lupa berpesan agar menjaga kesihatan.

“Arwah sempat berfikir bagaimana orang lain yang mengalami situasi sama atau lebih teruk, tetapi tidak mampu menjalani rawatan.

“Saya kurang seorang lagi sahabat akrab dan penyanyi bersuara merdu yang tiada galang ganti,” katanya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, pada jam 12.45 pagi tadi, akibat kanser rahang.

Penyanyi era 1980-an, Salwa memberitahu, arwah pernah menyuarakan kebimbangan hilang suara dan tidak boleh menyanyi jika dibedah.

“Tetapi akhirnya arwah mengalah dan dibedah dua kali. Saya dimaklumkan arwah melakukan tiga sesi kimoterapi dan 33 kali sesi radioterapi sepanjang bertarung melawan kanser,” katanya.

Salwa berkata, mereka berkenalan sejak 1986 dan selalu berkumpul di rumah penyanyi Allahyarham Khairil Khamis.

“Kami jadi rapat selepas sering digandingkan dalam program hiburan RTM di bawah penerbit Noriah Letuar.

“Arwah adalah penyanyi versatil dan boleh mendendangkan lagu bermacam genre. Hingga akhir hayat hubungan kami rapat,” katanya.

Penerbit dan pelakon, Datuk Ziela Jalil terkilan hasrat untuk memberi bekalan ubat dan vitamin kepada arwah tidak kesampaian.

“Kali terakhir saya bertemu arwah adalah pada majlis hari jadi komposer S Atan, Ogos lalu.

“Apabila bertemu arwah, saya tidak mampu menyembunyikan kesedihan. Ini kerana sebelum perjumpaan itu, saya mendapat tahu arwah sedang bertarung sakit.

“Saya kesal tidak berjumpa arwah selepas majlis keraian itu. Hakikatnya, sebagai manusia, kita bagai mengambil terlalu mudah soal ini.

“Sepatutnya, kalau sudah rasa nak jumpa, kita jangan bertangguh lagi,” katanya.

Ziela berkata, arwah yang disifatkan teman berhati mulia, gemar membahasakan dirinya ‘kekanda’ dan memanggilnya ‘adinda’ setiap kali berjumpa.

“Saya berhutang nyawa dengan arwah dalam insiden di mana kami bersama Ramlah Ram menjayakan sesi fotografi sebuah penerbitan pada era 1980-an. Kami diminta bergambar dengan seekor kuda.

“Hendak dijadikan cerita, saya bergelut dengan kuda yang ditunggang lalu terjatuh dan hampir dihempap haiwan itu. Mujurlah arwah datang menyelamatkan saya,” katanya.

Penyanyi Ezad Lazim menganggap arwah sebagai idola dan sering berkongsi ilmu untuk terus cemerlang dalam bidang seni.

“Ketika saya sakit di kampung di Kedah, arwah datang melawat dan memberikan kata-kata semangat untuk melawan penyakit.

“Saya sangat terharu arwah sanggup datang dari jauh untuk menjenguk saya yang kurang sihat,” katanya yang menganggap arwah seperti abang yang cukup prihatin.

Berita Harian X