X
Khamis, 12 Disember 2019 | 4:18pm

Eizlan, Natasha selamat bernikah

PUTRAJAYA: Hanya dengan sekali lafaz pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof, 48, selamat menjadi suami kepada Natasha Rosa Boudville, 29, pada majlis pernikahan yang berlangsung di The Glass Suite, Boraombak Marina, di sini, sebentar tadi.

Bapa kepada anak tiga itu menamatkan zaman duda dengan wanita berketurunan Serani yang juga kakitangan pengurusan kanan hotel lima bintang di ibu negara, tepat jam 3.28 petang.

Pasangan itu dinikahkan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail dengan disaksikan kira-kira 100 tetamu, termasuk keluarga dan kenalan terdekat.

Pada majlis itu, pengantin perempuan yang memeluk Islam pada Ogos tahun lalu, menerima mas kahwin sebanyak RM80 dan sebentuk cincin berlian, selain wang hantaran RM12,121.90. Natasha turut menerima lima dulang hantaran, berbalas tujuh.

EIZLAN ketika upacara akad nikah yang diadakan di The Glass Suite Boraombak Marina, Putrajaya. - Foto Saifulizan Tamadi
EIZLAN ketika upacara akad nikah yang diadakan di The Glass Suite Boraombak Marina, Putrajaya. - Foto Saifulizan Tamadi

Sebelum upacara akad nikah, Eizlan diarak menyeberangi tasik Marina Putrajaya menaiki bot diiringi pegawai tertinggi dan bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Majlis turut diserikan dengan upacara berbalas pantun kedua-dua pihak sebagai sebahagian daripada kemeriahan adat tradisi Melayu dalam perkahwinan.

Eizlan berkata, banyak elemen kejutan yang dirahsiakan daripada pengetahuannya apabila semua urusan keseluruhan majlis disempurnakan sahabat terdekat.

“Saya sangat terharu dengan sokongan semua pihak, terutama rakan dan keluarga yang menjadikan majlis pada hari ini sangat meriah dan penuh bermakna buat kami berdua.

“Doakan perjalanan kehidupan kami sekeluarga sentiasa dilimpahi kasih sayang dan perkahwinan ini berkekalan hingga ke jannah,” katanya.

EIZLAN berharap perkahwinan dengan Natasha akan berkekalan hingga ke jannah. - Foto Saifulizan Tamadi
EIZLAN berharap perkahwinan dengan Natasha akan berkekalan hingga ke jannah. - Foto Saifulizan Tamadi

Majlis resepsi pasangan mempelai bakal diadakan di Ballroom, Boraombak Marina Putrajaya, jam 8.30 malam esok. Pada majlis itu, Eizlan dan Natasha diberi penghormatan istiadat penuh APM, membabitkan perarakan silang perang oleh barisan Pegawai Bersekutu agensi terbabit serta pancaragam 'bagpipe'.

Majlis perkahwinan membabitkan empat acara yang dianggarkan bernilai RM1 juta itu bermula dengan malam berinai bertemakan Bollywood, semalam.

Selain malam berinai, pernikahan dan persandingan, pengantin bakal diraikan sekali lagi pada majlis penghargaan yang juga resepsi terakhir di lokasi sama pada 14 Disember ini.

Berita Harian X