Jumaat, 13 Disember 2019 | 9:51pm

Ain Edruce selamat bergelar isteri ahli perniagaan

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, pengacara dan pelakon, Ain Edruce, 27, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Amirul Hafiz Mustaffa, 26, jam 9.11 malam ini pada majlis akad nikah yang berlangsung di Quill City Mall, di sini.

Majlis yang dihadiri keluarga terdekat menyaksikan pengantin perempuan menerima mas kahwin RM888, selain tiga dulang hantaran berbalas lima.

Jumlah wang hantaran bagaimanapun dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Pasangan berkenaan dinikahkan bapa pengantin perempuan, Ar Edruce Sabri, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Wilayah Persekutuan, Masjid Jamek, Kampung Baru, Azizi Ab Hamid.

“Alhamdulillah, majlis dapat diadakan dengan sempurna walaupun persiapan dibuat pada minit akhir kerana kesibukan saya dalam lakonan.

"Semoga perjalanan kami dalam fasa fasa baharu sebagai suami isteri dipermudahkan.

“Saya juga tidak menganggap status sebagai isteri sebagai penghalang untuk mengembangkan jenama sendiri dalam dunia seni," katanya.

Amirul Hafiz memakaikan gelang ke tangan Ain Edruce pada majlis perkahwinan yang berlangsung di Quill City Mall. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Amirul Hafiz memakaikan gelang ke tangan Ain Edruce pada majlis perkahwinan yang berlangsung di Quill City Mall. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Ain berkata, dia terpikat dengan suaminya, yang dikenali menerusi Instagram, kira-kira setahun lalu, kerana sikapnya yang berbeza dengan pemuda lain.

“Amirul seorang yang sangat budiman ketika menyatakan hasratnya untuk berkenalan. Walaupun bukanlah terlalu romantik, dia lelaki yang suka berterus-terang,” katanya yang akan diraikan dalam majlis resepsi di lokasi sama, esok.

Pasangan ini bertunang pada 22 Jun lalu.

Pelakon, Ain Edruce, bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Amirul Hafiz, pada majlis akad nikah yang berlangsung di Quill City Mall, sebentar tadi. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Pelakon, Ain Edruce, bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Amirul Hafiz, pada majlis akad nikah yang berlangsung di Quill City Mall, sebentar tadi. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Berita Harian X