Jumaat, 20 Disember 2019 | 9:38pm

Farah Nabilah sah jadi isteri juruterbang

PETALING JAYA: Selepas bercinta selama tujuh tahun, pelakon, Farah Nabilah, dan juruterbang, Mohammed Amirul Yunus, sah disatukan sebagai suami isteri, jam 9.04 malam tadi.

Pasangan berkenaan dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Saipuddin Ahmad, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Daerah Petaling, Mastori Marsidi.

Pada majlis yang berlangsung di Royale Chulan Damansara, di sini, Farah, 27, menerima mas kahwin RM1,000 dan wang hantaran bernilai RM77,777.77.

Pasangan Farah Nabilah dan Mohammed Amirul Yunus dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Saipuddin Ahmad. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Pasangan Farah Nabilah dan Mohammed Amirul Yunus dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Saipuddin Ahmad. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Bintang drama Kau Yang Pertama itu, yang bergelar isteri dengan sekali lafaz, turut menerima tujuh dulang hantaran berbalas jumlah sama.

“Alhamdulillah, perkahwinan ini menjadi permulaan fasa dan tanggungjawab baharu untuk saya serta suami. Moga semuanya dapat dipermudahkan.

“Saya mengambil angka tujuh untuk nilai wang hantaran itu kerana ia nombor kegemaran. Tak sangka, angka tujuh itu juga simbolik tempoh percintaan kami,” kata Farah selepas majlis akad nikah.

Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu berkata, sepanjang tempoh bercinta, suami cekal dalam usaha memenangi hatinya.

“Hubungan saya dan Amirul sebenarnya terjalin secara jarak jauh kerana komitmen kerjaya. Saya sibuk dengan urusan seni, manakala dia pula menjalankan tugas sebagai juruterbang. Jadi, selalu juga dia perlu berada di luar negara.

“Hanya kepercayaan dan kesetiaan terhadap satu sama lain yang mengukuhkan percintaan kami berdua,” katanya yang turut ditunangkan dengan pasangannya pada majlis sama.

Pasangan Farah Nabilah dan Mohammed Amirul Yunus akan diraikan dalam tiga majlis berbeza. - Foto NSTP
Pasangan Farah Nabilah dan Mohammed Amirul Yunus akan diraikan dalam tiga majlis berbeza. - Foto NSTP

Mereka bakal diraikan dalam dua majlis resepsi, masing-masing esok dan 28 Disember. Pasangan berkenaan juga sekali lagi akan diraikan dalam majlis berbeza, 5 Januari depan.

Farah juga artis pertama menyaksikan kisah perkahwinannya dipaparkan menerusi portal Mahligai Cinta.

Pelakon, Farah Nabilah, ketika melangkah masuk ke dewan acara di Royale Chulan Damansara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Pelakon, Farah Nabilah, ketika melangkah masuk ke dewan acara di Royale Chulan Damansara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Berita Harian X