Isnin, 23 Disember 2019 | 3:00pm
Mawar bersyukur seisi keluarga terutama anak yang berusia sembilan bulan, sembuh daripada jangkitan virus Influeza A. Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Mawar bersyukur seisi keluarga terutama anak yang berusia sembilan bulan, sembuh daripada jangkitan virus Influeza A. Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Mawar trauma seisi rumah sakit

KUALA LUMPUR: Tiada yang lebih menguji pelakon, Mawar Rashid apabila seisi rumah termasuk anak berusia sembilan bulan dijangkiti virus Influenza A.

Lebih mencabar, Mawar yang terkena virus sama, terpaksa menyudahkan penggambaran drama bersiri TQ Captain di Bukit Fraser, Pahang, dalam keadaan tubuh yang lemah.

Menceritakan pengalaman, Mawar, 24, berkata, fikirannya runsing memikirkan anak, Raden Muhammad Rafael dimasukkan ke hospital akibat dijangkiti virus Influenza A.

“Alhamdulillah, selepas dimasukkan wad selama beberapa hari, Rafael sudah beransur sihat dan dibenarkan pulang.

“Saya sangat bersyukur kerana hati tidak tenang menghabiskan penggambaran di Bukit Fraser. Komitmen kerja menuntut saya berada di lokasi.

“Lebih mencabar, tiga anak saudara, abang, ibu dan pembantu rumah juga dijangkiti virus sama serta perlu dikuarantinkan.

“Saya berjangkit dengan Rafael. Biarpun lemah, saya teruskan berlakon sehingga penggambaran selesai,” katanya kepada BH Online.

Mawar berkata, dia bersyukur kerana semua ahli keluarga sudah bertambah sihat.

Mawar dan Raf Yaakob mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017 dan dikurniakan Rafael pada 13 Mac lalu.

Mawar mempunyai dua anak tiri iaitu Rayyan, 8 dan Raysaa, 4, hasil perkahwinan Raf bersama bekas isteri.

Selain Mawar, drama TQ Captain dibintangi Hisyam Hamid, Raf Yaakob, Mark Adam, Harris Annuar, Tomok dan ramai lagi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X