Rabu, 15 Januari 2020 | 8:30am
Amylea dan Kaer mempertaruhkan single duet baharu, Selalu Denganmu yang berentak R&B. Foto NSTP/Akma Bakar
Amylea dan Kaer mempertaruhkan single duet baharu, Selalu Denganmu yang berentak R&B. Foto NSTP/Akma Bakar

Single baharu Amylea, Kaer tak sedap?

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Amylea Azizan enggan mengikut telunjuk orang dalam berkarya.

Sebaliknya, dia bersama rakan komposer, Farouk Roman mahu memberi rasa, warna dan kepelbagaian genre dalam setiap karya mereka.

“Saya dan Farouk tidak mahu menghasilkan lagu hanya kerana pendengar suka genre sedemikian.

“Kami tidak mengikut telunjuk orang. Sebaliknya, saya dan Farouk percaya perlu ada kepelbagaian genre untuk kepentingan industri muzik tanah air.

“Hakikatnya, industri muzik Malaysia kurang ‘perasa’ dan genre dalam lagu. Balik-balik berputar genre yang sama,” katanya kepada BH Online.

Terbaru, Amylea bersama rakan duetnya, Kaer Azami mempertaruhkan single berjudul Selalu Denganmu. Lagu yang dipilih sebagai salah satu lagu runut bunyi drama Adellea Sofea itu dilancarkan sejak bulan lalu.

Biarpun dibandingkan dengan lagu duet popular, Tak Pernah Hilang yang pernah mencipta magis, Amylea tidak cepat melatah.

“Kalau nak cakap lagu Selalu Denganmu sedap atau tidak, saya percaya lagu ini ada kelebihan tersendiri.

“Saya dan Farouk memberi yang terbaik untuk setiap karya yang dihasilkan.

“Kami akan memberikan satu rasa dalam setiap lagu. Bagaimanapun, tidak adil jika dibandingkan lagu Selalu Denganmu dengan Tak Pernah Hilang. Kedua-dua lagu itu adalah daripada genre berbeza,” katanya.

Amylea berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk lagu Selalu Denganmu berikutan lagu itu berentak R&B.

“Saya lihat pendengar tidak menghargai lagu berentak R&B. Untuk mengharapkan lagu ini pergi jauh hingga menembusi Anugerah Juara Lagu (AJL) tidak sesekali.

“Lagu ini bukannya jenis ‘tangkap leleh’. Bagaimanapun, saya percaya lagu berkualiti tidak semestinya popular.

“Saya tidak mampu meramal lagu Selalu Denganmu setanding Tak Pernah Hilang. Cuma, saya menghasilkan karya terbaik serta mementingkan aspek produksi,” katanya.

Mengulas mengenai Kaer yang menyahaktif akaun Instagram, Amylea berkata, rakan duetnya itu berada dalam keadaan baik.

“Saya tidak boleh komen bagi pihak Kaer... Dia okay saja. Kami siapkan penggambaran video muzik Selalu Denganmu pada akhir bulan lalu.

“Saya, Farouk dan Kaer berpuas hati dapat menghasilkan lagu bergenre pop R&B ini. Idea dan tata gaya video muzik juga ilham kami,” katanya.

Berita Harian X