Khamis, 16 Januari 2020 | 3:34pm

Saya sudah tawar hati - Noor Nabila

KUALA LUMPUR: Kakak Neelofa, Noor Nabila Mohd Noor, terkilan apabila suaminya, Sharnaaz Ahmad, 34, didakwa sengaja memanjangkan proses perceraian mereka.

Nabila juga tawar hati untuk meneruskan perkahwinan dengan aktor berkenaan dengan dakwaan dia tidak nampak usaha Sharnaaz untuk menyelamatkan rumah tangga mereka.

“Selama setahun prosiding perceraian ini berlangsung, saya tidak nampak usaha dia untuk menyelamatkan perkahwinan kami.

“Saya tidak faham, kenapa pihak di sana sengaja memanjangkan kes ini? Apa usaha yang dilakukannya jika betul dia mahu menyelamatkan perkahwinan kami? Saya sudah tawar hati dan tidak nampak sebarang usaha daripadanya untuk kembali bersama saya.

“Dia sudah mempunyai kehidupan sendiri, malah saya juga sudah ‘move-on’ dan menjalani kehidupan tanpa suami sejak lebih setahun lalu. Sepatutnya, perkara ini boleh dipercepatkan sekiranya Sharnaaz melafazkan cerai,” kata Nabila ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini.

Nabila, 35, turut berharap kes berkenaan tidak berpanjangan agar masing-masing dapat memberikan tumpuan untuk membesarkan anak, Jebat Jayden Ahmad, tanpa sebarang rasa terpendam dalam hati.

Sementara itu, Sharnaaz yang ditemui di luar kompleks mahkamah pula enggan memberikan sebarang ulasan.

“Tak ada apa-apa nak cakap,” katanya ringkas.

Pelakon, Sharnaaz Ahmad, enggan memberikan ulasan lanjut kepada wakil media ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias

Dalam prosiding berkenaan, Noor Nabila diwakili peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, manakala Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili pelakon Lelakimu Yang Dulu itu.

Pada 11 September lalu, mahkamah memerintahkan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dibentuk bagi mencari penyelesaian dalam kes tuntutan cerai pasangan itu.

Bagaimanapun, bintang filem Juvana itu memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya pada 30 September lalu.

Bagi prosiding JKP, Sharnaaz melantik rakan baiknya sebagai wakil, manakala Noor Nabila diwakili bapa tirinya, Abdul Halim Khan.

Pasangan berkenaan berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.

Noor Nabila Mohd Noor ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X