Jumaat, 17 Januari 2020 | 6:01pm
Pelakon, Puteri Balqis, kini aktif mempromosikan buku puisi tulisannya di sekitar Kuala Lumpur. - Foto Instagram Puteri Balqis

'Saya bukan nak paksa Balqis bekerja ketika sakit'

KUALA LUMPUR: “Niat saya adalah semata-mata untuk membantu Puteri Balqis dan pada masa sama, mahu meneroka bakatnya dengan lebih mendalam lagi. Saya bukannya mahu memaksa dia bekerja dalam kesakitan, seperti diperkatakan warganet.”

Demikian kata penerbit drama, Datuk A Aida, apabila diminta mengulas mengenai berita penarikan diri Puteri Balqis Azizi, 13, pada saat akhir daripada projek telefilem berjudul Tiada Galang Ganti terbitan syarikatnya, A Aida Production Sdn Bhd.

Tindakan itu dikatakan dimaklumkan oleh ibu pelakon cilik terbabit, Norashikin Mohd Aziz, kepada pengurus produksi, semalam, iaitu sehari sebelum penggambaran dijalankan, hari ini.

Telefilem berkenaan dihasilkan untuk tayangan slot Cerekarama, TV3.

“Ini juga bukan kali pertama saya memanggilnya berlakon bersama produksi saya. Sebelum ini, sudah banyak kali saya berbuat demikian kerana boleh dikatakan, dialah pelakon kanak-kanak pilihan saya. Kalau ada watak kanak-kanak, pasti saya teringatkan Balqis sebab kita tahu dia pelakon berbakat,” katanya kepada BH Online.

Penerbit, Datuk A Aida. - NSTP/Aswadi Alias

Kesal dengan tindakan berkenaan, Aida bagaimanapun tidak menyimpan perasaan dendam dan dia juga tidak mengetahui faktor sebenar Balqis berbuat begitu.

“Setahu saya, ibunya yang menguruskan perkara itu. Kami berhubungan dengan ibunya, jadi kami tidak pasti apa sebabnya dia menarik diri. Saya tidak boleh mengulas lanjut mengenainya. Bagaimanapun, saya bernasib baik apabila Putri Adrianna boleh menggantikan tempatnya.

“Tak mengapalah, mungkin mereka ada masalah yang tidak boleh dielakkan. Sebagai penerbit, inilah cabaran saya perlu hadapi apabila pelakon menarik diri pada saat akhir. Inilah juga kali ketiga saya menghadapi situasi sama,” katanya.

Sementara itu, Aida berharap keluarga Balqis terus memberikan sokongan kepada pelakon itu mengembangkan bakat dalam lakonan.

“Sayang kalau bakatnya dipersia-siakan begitu sahaja sebab jarang ada pelakon berkebolehan seperti Balqis. Apatah lagi dia memiliki pakej sempurna.

“Semua orang mempunyai masalah sendiri dan mereka juga mungkin ada masalah yang kita semua tidak tahu, namun seboleh-bolehnya biarlah bakat Balqis dihargai.

“Bagi saya, Balqis boleh menjadi pelakon yang berjaya dan kerjayanya ini boleh menjana pendapatan yang baik untuknya,” kata Aida.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X