Sabtu, 18 Januari 2020 | 10:04pm

Elly Mazlein kembali bergelar isteri

KUALA LUMPUR: Lebih setahun berkenalan, penyanyi, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein, sah bergelar isteri kepada Mohamad Azlan Che Nuh, 29, dengan sekali lafaz, di sini, kira-kira jam 9.09 malam tadi.

Pada majlis yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu, pengantin perempuan menerima mas kahwin seutas gelang tangan bernilai RM1,800.

Majlis yang dihadiri keluarga terdekat dan rakan artis itu turut menyaksikan keluarga Elly menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima, dengan kesemuanya adalah barangan kemas.

Pasangan berkenaan dinikahkan oleh bapa Elly sendiri, Syed Hanafi Syed Abdullah, dengan disaksikan anggota keluarga kedua-dua belah pihak.

“Saya bersyukur kerana segala-galanya dipermudahkan dan berjalan lancar seperti dirancang.

"Kini, saya dan suami mengecap fasa baharu dalam ikatan perkahwinan. Doakan kebahagiaan kami berdua.

Elly Mazlein sah bergelar isteri kepada Mohamad Azlan dengan sekali lafaz. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Elly Mazlein dan Mohamad Azlan berkahwin di Dewan Merdeka PWTC, malam ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

“Insya-Allah, kami akan sama-sama melayari bahtera rumah tangga ini dengan sebaik mungkin,” kata pelakon Kampung People itu.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 39, mengenali suaminya yang juga seorang guru menerusi laman sosial.

Pasangan terbabit seterusnya diraikan dalam majlis resepsi bertemakan Malam Bulan Di Pagar Bintang, di lokasi sama.

Antara rakan artis yang hadir meraikan mempelai ialah Rozita Che Wan, Fasha Sandha, Aidil Aziz, Uqasha Senrose, Emelda Rosmila dan Catriona Ross.

Semalam, pada majlis berinai, Elly yang popular dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu mendedahkan wajah Azlan buat kali pertama kepada khalayak.

Sebelum ini, Elly mendirikan rumah tangga dengan pengarah, Azmi Hatta, pada 9 November 2014 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Sara Sefhia, 4. Mereka bercerai pada 15 Oktober 2015.

Perkenalan di media sosial membawa Elly dan Mohamad Azlan ke jenjang pelamin. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X