Selasa, 21 Januari 2020 | 8:30am
Elly tidak menyangka Akim (kiri) sempat menghadiri majlis pernikahannya di ibu negara, Sabtu lalu, biarpun vokalis The Majistret itu sibuk dengan Showcase AJL34. Foto IG Elly Mazlein

'Akim datang juga...'

KUALA LUMPUR: Pada mulanya diundang menyanyi, namun hajat tidak dapat ditunaikan. Namun, apabila kelibatnya dilihat hadir biarpun pada akhir acara, hati pengantin baharu, Elly Mazlein tersentuh hingga menitiskan air mata.

Itulah yang dikongsi isteri kepada guru kacak, Mohamad Azlan Che Nuh apabila penyanyi Akim Ahmad sempat ‘mencuri’ masa menghadiri majlis pernikahan mereka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu lalu.

Pelakon drama Kampung People itu memberitahu, dia dan suami tidak sangka Akim sempat bertandang ke majlis itu.

“Hati sangat tersentuh apabila tiba-tiba nampak Akim datang biarpun tetamu sudah pulang.

“Akim sepatutnya membuat persembahan bersama penyanyi lain pada majlis nikah saya dan suami. Namun, kebetulan, acara kami ‘bertembung’ dengan Showcase Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34.

“Saya beritahu isterinya, Stacy, tidak mengapa, biar Akim teruskan dengan komitmen AJL34. Cukuplah doakan kebahagiaan saya dan suami.

“Apabila nampak Akim menuju ke pentas utama, gugur air mata saya melihat kesungguhan Akim memenuhi janjinya biarpun tidak dapat menyanyi pada majlis saya,” katanya yang berkongsi catatan di Instagram.

Elly berkata, dia sempat mengucapkan selamat hari jadi kepada Akim yang kebetulan menyambut ulang tahun kelahirannya pada hari sama.

Lebih menyentuh hati ibu kepada Putri Sara Sefhia ini, Akim memberi hadiah istimewa buat dirinya dan suami.

“Saya beritahu tak payah susah-susah. Namun, saya dan suami mendoakan semoga semua urusan Akim dipermudahkan Allah.

“Moga kebahagiaan terus menjadi milik Akim dan isteri. Untung mengenali kamu berdua.... Saya sayang kamu berdua,” katanya.

Berita Harian X