Selasa, 21 Januari 2020 | 1:00pm
Angeline kagum dengan ketelitian kerja kru produksi drama bersiri, The Ghost Bride. Foto NSTP/Azhar Ahmad

Projek besar Angeline selepas 20 tahun

KUALA LUMPUR: Pelakon Angeline Tan menganggap drama bersiri, The Ghost Bride mencatatkan pengalaman berharga buatnya selepas lebih dua dekad bergelar anak seni.

Drama bersiri enam episod bukan saja memberi peluang kepada pelakon dan pelawak berketurunan Cina itu bergandingan dengan pelakon antarabangsa, malah dia turut mendapat bimbingan dua pengarah terkenal tanah air, Ho Yuhang dan Quek Shio Chuan yang menjadi impiannya selama ini.

“Dua pengarah ini mempunyai cara berbeza ketika bekerja. Yuhang lebih cerewet kerana selagi tidak dapat apa yang dikehendaki, dia akan mengarahkan saya melakonkan semula sesuatu babak sehingga berpuas hati.

“Quek pula cara kerjanya lebih santai dan fleksibel sehingga saya risau apakah lakonan saya berjaya memuaskan hati. Ini kerana dia sering memberi maklum balas positif apabila saya bertanya,” katanya kepada BH Online.

Tambah pelakon berusia 53 tahun ini, dia mengagumi kesungguhan dan kreativiti yang ditunjukkan pihak produksi ketika berkarya.

“Mereka berbelanja besar bagi menyediakan props dan penggunaan kostum yang disifatkan sangat hebat. Mereka sanggup menyediakan busana cantik untuk disesuaikan dengan jalan cerita yang mengambil latar kurun ke-19.

“Bayangkan, mereka mempunyai sebuah bilik khas besar untuk menyimpan props berkenaan,” katanya.

Memegang watak sebagai Madam Lin, Angeline berkata wataknya hanya sekadar sampingan, namun tetap memberi cabaran tersendiri.

“Babak tak banyak dan saya hanya menghabiskan masa selama 11 hari untuk penggambaran. Namun, cabarannya tetap ada kerana saya menjadi ibu yang mengalami tekanan kerana kehilangan anak.

“Walaupun mendapat bimbingan pengarah, tetapi mereka memberi kebebasan pada saya untuk berimaginasi dalam menentukan hala tuju karakter Madam Lin,” ujarnya.

Baru-baru ini, Angeline menghadiri sidang media yang memperkenalkan drama bersiri itu di ibu negara. Majlis turut diserikan dengan barisan pelakon Huang Pei Jia, Wu Kang Ren, Ludi Lin, Kuang Tian, Jordan Voon dan Susan Leong.

The Ghost Bride adalah drama tempatan berbahasa Cina yang pertama memasuki pasaran dunia menerusi laman strim video Netflix. Ia bakal ditayangkan kepada penonton mulai Khamis ini.

Berita Harian X