Rabu, 22 Januari 2020 | 1:50pm
Faizal menghembuskan nafas terakhir selepas pulang bersenam. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Faizal menghembuskan nafas terakhir selepas pulang bersenam. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Lok-U meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pengarah muzik terkenal, Faizal Uzir atau lebih dikenali dengan panggilan Lok-U menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Puncak Jalil, Seri Kembangan kerana sesak nafas selepas bersenam kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Adik Allahyarham, Fairul Uzir memberitahu, berita itu dimaklumkan isteri arwah, Jamariah Yusof.

“Saya terkejut sebaik dimaklumkan. Allahyarham sesak nafas dan rebah secara tiba-tiba selepas pulang dari berjogging. Kakak ipar kemudian menghubungi ambulans, namun abang disahkan meninggal dunia.

“Mungkin ia ada kaitan dengan jantung, Apapun, kena tunggu keputusan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian,” katanya kepada BH Online.

Tambah Fairul, urusan pengebumian akan dilakukan selepas proses bedah siasat selesai.

“Buat masa ini, arwah masih berada di hospital. Jenazah akan dibawa dan disembahyangkan di Surau Al Falah, Taman Puncak Jalil.

“Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya selepas solat Asar,” ujarnya.

Allahyarham meninggalkan empat cahaya mata, Adam Danial, Faris Danial, Ahmad Firhan Danial dan Yasmin Damia.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Faizal yang pernah bertugas sebagai pemuzik di Petronas, turut menimba pengalaman dengan mengiringi persembahan ramai artis popular.

Antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Aishah dan ramai lagi.Allahyarhan pernah menjadi pengarah muzik untuk program realiti popular seperti Mentor dan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH).

Berita Harian X