Khamis, 23 Januari 2020 | 1:00pm
Naim menafikan tanda pagar #sembahnaim yang digunakan bagi mempromosikan single baharu adalah gimik murahan. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

'Kenapa nak kena sembah pula?'

KUALA LUMPUR: Tanda pagar #sembahnaim yang digunakan Naim Daniel bagi mempromosikan single baharu berjudul Sembah mencetuskan perdebatan warganet.

Mendakwa istilah ‘sembah’ sengaja digunakan Naim bagi menarik perhatian netizen, finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 ini bagaimanapun menafikan andaian itu.

Naim, 23, menjelaskan, dia tidak berniat menjadikan tanda pagar itu sebagai bahan tular atau strategi agar lagunya cepat diterima.

“Dari dahulu saya sudah mencipta tanda pagar seumpama itu. Misalnya #sekalilaginaim untuk single Sekali Lagi dan #sumpahnaim untuk lagu Sumpah.

“Tiada niat untuk menyuruh orang menyembah saya. Lagu ini sebenarnya lebih kepada cara saya mempersembahkan kepada orang.

“Tidak kisahlah apa orang nak kata... Itu penerimaan masing-masing. Saya percaya 2020 ini semua orang bijak. Seboleh-bolehnya biarlah kita ada ‘minda 2020’, bukan era 2000,” katanya kepada BH Online.

Naim mengulas reaksi netizen yang menganggap #sembahnaim yang digunakan Naim bagi mempromosikan single Sembah ciptaannya bersama Ikkie, berbunyi negatif.

Naim bagaimanapun tidak menolak reaksi negatif peminat sebagai suatu bentuk promosi kepada lagu berkenaan. Namun, penyanyi Sumpah ini menyerahkan kepada rezeki sama ada single itu diterima atau sebaliknya.

“Single ini adalah hadiah kepada pendengar yang percaya saya boleh menyanyikan lagu balada,” katanya.

Single itu akan dilancarkan sehari selepas AJL34 yang bakal berlangsung pada 9 Februari depan. Istimewanya, Sembah yang berkisar penderitaan dalam percintaan kakak Naim, menampilkan pemuzik terkenal, Man Kidal.

Ditanya mengenai pembabitan pemain gitar terkenal itu, Naim berkata:

“Sekarang, ramai yang memilih penyanyi sebagai rakan duet. Saya cuba mencari kelainan dengan menampilkan pemuzik.

“Di luar negara, berduet dengan pemuzik bukanlah asing. Mendiang Micheal Jackson pernah melakukannya,” katanya.

Naim berkata, dia juga akan tampil dengan projek kerjasama dengan kumpulan Hujan, tahun ini.

Mengenai persiapan menghadapi AJL34, Naim berkata:

“Tiada gimik yang dirancang. Saya hanya mahu lebih fokus kepada penyampaian dan emosi dalam menyampaikan lagu Sumpah,” katanya.

Berita Harian X