Isnin, 27 Januari 2020 | 12:31am
Ika menunggu laporan analisis daripada pakar perubatan, malam ini. Jika tiada jangkitan wabak coronavirus, Ika akan dibenarkan pulang. - Foto NSTP/IG Ika Mustafa

Pulang dari China, Ika Mustafa dikuarantin di HSB

KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Ika Mustafa dikuarantin di Hospital Sungai Buloh (HSB), sejak petang semalam, selepas disyaki mempunyai simptom wabak coronavirus (2019-nCoV).

Mula dikenali selepas single Damaikanlah menjadi runut bunyi drama Setelah Ku Dimiliki, Ika, 22, memberitahu, dia tiba dari Haikou, China, atas urusan kerja, petang kelmarin.

Penyanyi baharu, Ika Mustafa.

“Seingat saya, dalam penerbangan, saya perhatikan ada penumpang warga emas berusia 60-an dipercayai rakyat China, batuk teruk dengan hingus meleleh. Dia menggunakan banyak tisu untuk mengesat hingus.

“Setibanya di Haikou, individu terbabit diperiksa dan dia dikatakan datang dari Wuhan. Pada peringkat itu, saya tidaklah terfikir apa-apa, cuma bimbang tetap ada,” katanya kepada BH Online.

Ika berkata, sebaik urusannya selesai di Haikou, dia mengambil penerbangan seterusnya untuk pulang dan tiba di Malaysia dalam keadaan sihat.

“Bagaimanapun, pagi semalam, saya hilang suara apabila bangun tidur. Tekak mula sakit, demam dan muntah-muntah.

“Pada mulanya, saya hanya ke klinik berhampiran dengan rumah. Tetapi saya dirujuk ke HSB, petang semalam.

“Saya dikuarantin sehingga doktor memberi keputusan analisis terhadap keadaan saya, malam esok. Jika tiada jangkitan, saya boleh pulang,” katanya.

Ika berkata, demamnya mencapai suhu 38 darjah selsius dan masih terkawal.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X