Selasa, 28 Januari 2020 | 8:30am
Dafi merancang kembali aktif dengan produk baharu tahun ini. Foto NSTP/IG Dafi

'Mana Dafi...?'

KUALA LUMPUR: Dua tahun menyepi, ramai menyangka penyanyi dan pelakon, Dafi sudah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni.

Ada juga mengesyaki Dafi yang mencipta nama di pentas Akademi Fantasia (AF), merajuk dan membawa diri jauh daripada perhatian ramai.

Tidak kurang juga yang mengandaikan keputusan menjadi rakan kongsi kepada syarikat pengurusan artis, Lol Entertainment, awal tahun lalu, menjadi alasan dirinya tidak lagi aktif di pentas.

Namun, penyanyi lagu Bila Terasa Rindu ini mengaku dia masih memperjuangkan seni dan tidak pernah meninggalkan bidang ini.

“Saya masih ada... Cuma sudah hampir dua tahun saya tidak dilihat aktif. Sebenarnya, saya banyak menimba ilmu termasuk dalam dunia perniagaan.

“Lagipun, saya tiada lagu baharu. Kali terakhir saya muncul adalah dengan single Girl pada 2016.

“Saya masih suka dan cintakan seni. Saya seronok melakukan perkara ini sejak 13 tahun lalu, jadi kenapa hendak tinggalkan,” katanya kepada BH Online.

Dafi berkata, dia mahu aktif pada 2020.

“Namun, untuk melihat saya diminati seperti dulu mungkin sesuatu yang mustahil. Ini kerana ramai artis Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU) yang menyinar sekarang... Ini waktu mereka,” katanya.

Dafi berkata, dia merancang menghasilkan beberapa single dengan komposer baharu. Selain itu, projek pembikinan album dengan penyanyi dan komposer Indonesia, Ahmad Dhani tetap diteruskan.

“Sebanyak 10 lagu sudah saya rakam bersama Ahmad Dhani. Cuma, seperti kita sedia maklum, Ahmad Dhani berdepan masalah dengan undang-undang dan pendakwaan mahkamah. Jadi, album itu tertangguh lama.

“Jadi, dia perlu beri suntikan baharu mengikut kesesuaian masa. Saya juga mahu produk yang relevan, jadi tidak mahu terkejar-kejar,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X