Selasa, 28 Januari 2020 | 10:25pm
Ika bersyukur dirinya bebas daripada coronavirus berdasarkan keputusan ujian pengesanan dan pengesahan virus itu yang diterima kira-kira jam 9 malam tadi. Foto Ihsan Ika Mustafa

Ika Mustafa bebas coronavirus

KUALA LUMPUR: Negatif.

Itu keputusan ujian pengesanan dan pengesahan coronavirus (2019-nCov) terhadap Ika Mustafa yang diterima penyanyi itu, kira-kira jam 9 malam tadi.

Bersyukur bebas daripada jangkitan virus berbahaya itu, Ika yang dikuarantin di Hospital Sungai Buloh (HSB) sejak Ahad lalu, dibenarkan pulang, malam ini.

“Saya bersyukur keputusan ujian pengesanan dan pengesahan coronavirus adalah negatif... Saya bebas daripada jangkitan virus berkenaan,” katanya kepada BH Online.

Ahad lalu, Ika atau nama sebenarnya, Nursyafiqah Mustafa, 22, dilaporkan dikuarantin di HSB selepas disyaki mempunyai simptom coronavirus.

Mula dikenali selepas single Damaikanlah menjadi runut bunyi drama Setelah Ku Dimiliki memberitahu, Ika tiba dari Haikou, China, atas urusan kerja, Sabtu lalu.

Ika mendakwa, ketika dalam penerbangan ke Haikou, seorang penumpang warga emas berusia 60-an, dipercayai rakyat China berasal dari Wuhan, dilihat batuk teruk dengan hingus meleleh.

Ika yang pulang Sabtu lalu, mula hilang suara, sakit tekak, demam dan muntah, keesokannya.

Ika berterima kasih kepada doktor, kumpulan perubatan dan jururawat yang menjaganya dengan baik sejak ditempatkan di hospital berkenaan.

“Ika lihat setiap kali doktor dan jururawat masuk ke bilik, mereka memakai persalinan khas. Ika perasan jururawat berbeza ditugaskan memantau Ika.

“Ika juga kagum dengan tahap keselamatan yang diambil doktor dan jururawat. Setiap kali berjumpa dan membuat pemeriksaan, mereka menukar persalinan baharu sebelum berjumpa pesakit lain,” katanya.

Sehubungan itu, Ika merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada doktor, kumpulan perubatan dan kakitangan sokongan HSB yang berdedikasi dan prihatin dengan keperluan dirinya.

“Ika hanya mahu berpesan, kalau ada antara ahli keluarga atau kenalan yang menerima nasib sama seperti Ika, usahlah risau. Ini kerana kerajaan melalui Kementerian Kesihatan cukup mengambil berat keadaan pesakit.

“Selama Ika ditempatkan di sini, wakil kementerian ada menghubungi dan bertanya pelbagai maklumat termasuk mendapatkan laporan doktor dari masa ke semasa,” katanya.

Ika berkata, dia terharu dengan keprihatinan peminat termasuk pengikut di laman sosial yang sering bertanya mengenai kesihatannya.

“Ika tidak sangka laporan mengenai keadaan Ika turut dipetik beberapa portal berita di Taiwan, China, Indonesia dan Hong Kong. Alhamdulillah, Ika sudah bebas,” katanya.

Ikuti pengakuan Ika mengenai pengalaman ‘berkurung’ tiga hari di HSB dalam segmen hiburan HIP akhbar BH Rabu 29 Januari.

Berita Harian X