Jumaat, 14 Februari 2020 | 9:26pm
Man Raja Lawak (kiri) menganggap cabaran besar menantinya dalam teater Korupsi Dewan Semandung. - Foto NSTP

Tak kisah pilihan kedua, Man tumpang rezeki arwah Abam

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Man Raja Lawak menyifatkan pemilihannya menggantikan Allahyarham Abam Bocey dalam teater Korupsi Dewan Semandung sebagai tanggungjawab besar.

Mengakui sebak pada saat menerima tawaran, Man atau nama sebenarnya, Abd Rahman Kassim, 43, mengharapkan tiada pihak membandingkannya dengan arwah.

“Ramai mempersoalkan adakah saya layak menggantikan tempat arwah Abam. Saya sedar kedudukan saya, perjalanan jauh lagi jika dibandingkan arwah.

“Saya jadi takut apabila fikir penerimaan orang dan kepercayaan yang diberikan penerbit teater, Fauziah Ahmad Daud. Bagaimanapun, saya perlu menyahut cabaran, ini peluang keemasan,” katanya kepada BH Online.

Walaupun menjadi pilihan kedua, namun anggota kumpulan Puteh itu tidak kisah. Selain rezeki, ia juga menjadi percaturan buatnya menonjolkan bakat.

“Jujurnya, saya teringin menyertai teater Korupsi Dewan Semandung apabila projek ini diumumkan. Lebih lagi, melihat ramai rakan-rakan pelawak turut terbabit.

“Jadi, saya tak fikir dua kali apabila dilayangkan tawaran. Saya sudah lama mahu mencuba nasib dalam pentas teater, cuma tidak diberikan peluang.

“Tak kisah netizen beranggapan saya pilihan kedua, sekurang-kurangnya mereka boleh menilai bakat saya apabila beraksi di pentas teater,” katanya yang sudah bertemu dengan Kak Ogy dan Khir Rahman selaku pengarah, semalam.

Juara program Raja Lawak Mega musim kelima itu berkata, dia seperti menumpang rezeki arwah Abam apabila dipilih menggantikannya.

“Saya menggantikan tempat bukan orang biasa-biasa, tetapi arwah Abam. Kita tahu ramai yang sayang arwah.

“Jadi, saya kena buat bersungguh-sungguh. Saya akan mula menjalani latihan pada Ahad ini,” katanya yang akan mengkaji skrip dan watak malam ini.

Semalam, Khir mengumumkan Man akan menggantikan tempat arwah Abam yang meninggal dunia, baru-baru ini.

Teater Korupsi Dewan Semandung ini bakal dipentaskan selama tiga hari bermula 28 Februari ini.

Berita Harian X