Isnin, 17 Februari 2020 | 3:50pm
Abu Bakar yang menghidap kanser dan komplikasi lain, ketika dikunjungi Den Wahab di rumahnya. Foto Ihsan Den Wahab
Abu Bakar yang menghidap kanser dan komplikasi lain, ketika dikunjungi Den Wahab di rumahnya. Foto Ihsan Den Wahab

Abu Bakar Juah sakit

KUALA LUMPUR: Berhadapan beberapa komplikasi termasuk kanser usus, pelakon veteran, Abu Bakar Juah, 72, dilaporkan tidak stabil dan lemah.

Anaknya, Zarith, 36, memberitahu, ayahnya yang kini dirawat di rumah, mula sakit sejak 2017.

“Pada mulanya, didapati ada ketumbuhan dalam usus dan ‘blockage’ yang sudah dibuang.

“Sejak sakit, ayah sudah menjalani proses kimoterapi selama 15 bulan. Namun, bulan lalu, hati ayah sudah tidak boleh berfungsi kerana ada batu hempedu.

“Ketika itu, ayah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) disebabkan demam kuning,” katanya kepada BH Online.

Zarith berkata. pemeriksaan terbaru yang dibuat menunjukkan sel kanser sudah merebak ke hati.

Namun, tambahnya, atas faktor usia, proses kimoterapi terhadap ayah tidak dilakukan lagi.

“Berikutan keadaan ayah yang lemah, ibu dan adik-beradik yang lain bergilir menjaga termasuk memandikan ayah.

“Daya ingatan ayah kadang-kala tidak okay. Ini berpunca daripada ubat yang diambil. Sekarang, ayah tidak dapat cam atau kenal orang lagi,” katanya.

Zarith berkata, teman artis termasuk kenalan ketika ayah bertugas di Penjara Taiping, melawat bapanya di rumah.

“Kunjungan tetamu memberi memberi semangat kepadanya. Saya dan keluarga amat berterima kasih kerana masih ada rakan ayah yang kenal dirinya,” katanya.

Abu Bakar yang berasal dari Taiping, Perak, berkahwin dengan Rusidah Mohd Yassin sejak 1980. Mereka mempunyai empat anak dan seorang cucu.

Drama terakhir yang pernah dibintanginya adalah Mr Grey pada 2018.

Baru-baru ini, beberapa teman artis termasuk Den Wahab berkongsi kisah Abu Bakar di laman sosial.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X