Selasa, 18 Februari 2020 | 8:30am
Pelakon, Keith Foo kembali sibuk di lokasi penggambaran drama. NSTP/Rohanis Shukri
Pelakon, Keith Foo kembali sibuk di lokasi penggambaran drama. NSTP/Rohanis Shukri

Krisis rumah tangga bukan punca tenggelam

KUALA LUMPUR: Status yang dimuat naik pelakon, Keith Foo dan isterinya, Kim Raymond ketika bercuti seperti membayangkan rumah tangga sudah berakhir, baru-baru ini.

Apakah maksud ‘kita masih keluarga, tidak kira apa yang berlaku’ menjawab spekulasi keretakan rumah tangga yang bertiup kencang sejak beberapa tahun lalu. Mungkinkah ia petanda Keith dan Kim sudah berpisah, tetapi masih mengekalkan hubungan baik demi anak, Skylar Raymond Foo, 3.

Sebelum ini, Keith dan Kim yang mendirikan rumah tangga atas dasar cinta pada 2015 jarang memuatkan gambar bersama dalam laman sosial.

“Ya, apapun berlaku kami tetap keluarga. Kami berkawan baik dan tidak bergaduh. Hubungan lebih kukuh dan teguh berbanding sebelum ini.

“Dan, apapun keputusan yang diambil, keutamaannya pada anak. Kami menjaga Skylar bersama.

“Saya dan Kim menghantar anak ke sekolah setiap hari. Jika Kim ada urusan, saya mengambil tugasan menjaga Skylar. Selalunya, saya dan Kim akan uruskan Skylar bersama-sama,” katanya kepada BH Online.

Pelakon yang pernah mencetuskan fenomena menerusi drama Ariana Rose itu berkata, dia juga menafikan krisis rumah tangga menyebabkannya tidak mampu memberi tumpuan terhadap dunia lakonan.

“Saya sedar sudah empat tahun saya tenggelam timbul. Rumah tangga bukan punca kerjaya makin malap.

“Keluarga termasuk Kim sering memberi sokongan, tidak putus mendoakan dan memberikan semangat. Saat saya tersungkur, keluarga tidak pernah meninggalkan saya.

“Biarpun, ada yang melihat saya tenggelam dan timbul, tetapi ada sahaja rezeki yang diberikan untuk meneruskan hidup. Saya bersyukur dengan apa juga keadaan yang menghimpit. Mungkin saya rasa teruk, tetapi ada orang yang lebih susah lagi,” katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama adaptasi novel berjudul Dia Bukan Bidadari arahan Edora Abdul Rahman.

Berita Harian X