Rabu, 19 Februari 2020 | 5:10pm
Zul berkongsi foto menziarahi pusara Allahyarham Ashraf di San Diego Hills, Karawang, hari ini. Foto IG Zul Ariffin
Zul berkongsi foto menziarahi pusara Allahyarham Ashraf di San Diego Hills, Karawang, hari ini. Foto IG Zul Ariffin

Zul Ariffin terkilan tak sempat usung jenazah Ashraf

KUALA LUMPUR: Zul Ariffin terkilan tidak berpeluang menunaikan solat jenazah dan mengusung sahabatnya, Allahyarham Ashraf Sinclair ke pusara, pada majlis pengebumian pelakon itu di San Deigo Hills, Karawang, Jawa Barat, semalam.

Zul berkata, dia bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mencari penerbangan ke Jakarta, sebaik mendapat tahu pemergian sahabatnya itu.

“Saya cuba mendapatkan penerbangan awal agar sempat solat dan usung jenazah ke pusara... Itu niat saya.

“Namun, apakan daya, masalah kesesakan lalu lintas di Jakarta selain lokasi pusara yang agak jauh dari pusat bandar, membuatkan saya terlewat.

“Saya tiba di San Diego Hills selepas majlis pengebumian selesai,” katanya yang berada di Jakarta ketika dihubungi BH Online.

Mengimbau kenangan bersama suami Bunga Citra Lestari (BCL) itu, Zul menganggap arwah insan berhati mulia.

“Saya kenal arwah sudah lama, iaitu sebelum kami terjun dalam industri seni.

Kenangan Zul bersama arwah Ashraf.
Kenangan Zul bersama arwah Ashraf.

“Selepas lama berkawan, tahun lalu, kami berpeluang berlakon bersama dalam filem J Retribusi. Saya lihat arwah periang dan sangat baik. Beruntung siapa yang dapat mengenali dirinya,” katanya.

Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, 33, memuat naik foto menziarahi pusara arwah di Instagram.

Pagi semalam, dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham Ashraf di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC), di Kuningan, Jakarta, pada jam 4.51 pagi waktu tempatan atau 5.51 pagi waktu Malaysia.

Selain BCL, arwah Ashraf meninggalkan anak lelaki, Noah Aidan Sinclair yang berusia 10 tahun.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X