Sabtu, 29 Februari 2020 | 12:21pm
Aishah memuat naik video rakaman aksi BCL ketika membuat persembahan di Jakarta, malam tadi. Foto IG Aishah Sinclair
Aishah memuat naik video rakaman aksi BCL ketika membuat persembahan di Jakarta, malam tadi. Foto IG Aishah Sinclair

Bunga sangat tabah dan profesional - Aishah Sinclair

KUALA LUMPUR: Penampilan sulung Bunga Citra Lestari (BCL) dalam persembahan di Jakarta, 10 hari selepas pemergian suami, malam tadi, menarik perhatian Aishah Sinclair yang menyifatkan kakak iparnya itu tabah.

Memuat naik video yang memaparkan BCL mengawal perasaan ketika melantunkan bait lagu di Instagram, Aishah memuji BCL yang mengambil langkah ‘besar’ dalam meneruskan hidup tanpa Allahyarham Ashraf Sinclair.

Penyampai radio Mix FM itu bangga melihat BCL sangat profesional dalam memenuhi komitmen dengan penganjur, biarpun masih berduka dengan pemergian Ashraf.

“Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa bangganya saya memiliki kakak ipar seperti kamu.

“Di sebalik kedukaan dan ujian menerjah, Bunga masih kuat meneruskan apa yang sudah dipersetujui awal,” katanya.

Aishah menambah, apa yang dilakukan BCL, malam tadi, cukup sukar.

“Orang selalu cakap hidup mesti diteruskan. Kamu mesti kembali bekerja termasuk melakukan rutin harian.

“Tapi itulah yang sukar dibuat... Kamu (BCL) lakukan semuanya perlahan-lahan.

“Ini suatu langkah besar. Insya-Allah kamu akan okay dan merenung semula momen ini serta tersenyum... Saya sayang kamu,” katanya.

BH Online melaporkan, selepas 10 hari kehilangan suami tercinta, BCL membuat kemunculan sulung dalam persembahan di SQ Dome, Cilandak, Jakarta Selatan, malam tadi.

Tampil dalam busana serba hitam, balu Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia pada 18 Februari lalu itu, tidak dapat menahan air mata sepanjang mendendangkan lagu Cinta Sejati, lapor agensi.

Sebelum memulakan persembahan, BCL berpesan kepada penonton agar menjaga insan dicintai.

Berita Harian X