Isnin, 2 March 2020 | 8:30am
Lebih berwaspada apabila didekati lelaki, Syura lebih memberi tumpuan kepada kerjaya demi masa hadapan tiga anaknya. Foto NSTP/Aziah Azmee
Lebih berwaspada apabila didekati lelaki, Syura lebih memberi tumpuan kepada kerjaya demi masa hadapan tiga anaknya. Foto NSTP/Aziah Azmee

Lelaki kenalah bertanggungjawab - Syura

KUALA LUMPUR: Lima tahun bergelar ibu tunggal, penyanyi Syura selesa dengan kehidupan sekarang dan belum terfikir untuk berkahwin semula.

Syura atau nama sebenarnya, Zuraida Badron, 33, memberitahu, fokus dirinya ketika ini adalah mencari rezeki demi membesarkan tiga anak.

“Saya bahagia dengan kehidupan sekarang bersama anak-anak. Fokus saya hanya mencari rezeki buat mereka.

“Soal kembali berumah tangga, saya serahkan segala-galanya kepada takdir. Tidak mencari, namun tidak pula serik atau trauma untuk bernikah sekali lagi,” katanya kepada BH Online.

Jelas Syura, dia sudah biasa hidup berdikari.

“Sejak usia sembilan tahun, saya sudah menyara keluarga. Dengan status ini, saya tak ada masalah untuk hidup sendiri sambil mencari rezeki,” katanya.

Diusik pertanyaan apakah ada lelaki cuba mendekati dan menawan hati, penyanyi yang popular dengan lagu Nazam Berkasih ini berkata, pengalaman lalu mengajarnya lebih berwaspada.

“Tidak dinafikan, ada yang cuba mendekati. Namun, kebanyakannya tidak kena dengan jiwa.

“Saya tak pandang pangkat atau harta. Pada saya, satu perkara yang perlu ada pada lelaki yang mahu dijadikan suami adalah bertanggungjawab,” katanya.

Syura berkata, andai lelaki berharta tetapi tidak bertanggungjawab, apalah gunanya.

“Sifat bertanggungjawab perlu ada dalam setiap perkahwinan, bukannya cinta semata-mata.

“Lagipun, Syura ada tiga anak. Bukan sesuatu yang mudah jika lelaki tiada sifat bertanggungjawab,” katanya yang ditemui pada sesi pratonton teater Korupsi Dewan Semandung di Istana Budaya, di sini.

Syura dan bekas suaminya, Mohd Fadhly Md Yassin mendirikan rumah tangga pada 29 Mac 2006. Pasangan ini bercerai buat pertama kali pada 29 September 2014 dan rujuk, kira-kira dua bulan kemudian.

Namun, pada 9 Ogos 2015, mereka bercerai buat kali kedua.

Berita Harian X