Khamis, 19 March 2020 | 7:58pm
Presiden Persatuan Penerbit Malaysia (PVTM), Datuk Jurey Latiff Rosli. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Presiden Persatuan Penerbit Malaysia (PVTM), Datuk Jurey Latiff Rosli. - Foto Iqmal Haqim Rosman

'Syarikat produksi degil, ingkar arahan'

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Penerbit Malaysia (PVTM), Datuk Jurey Latiff Rosli menggesa syarikat produksi tidak bersikap mementingkan diri dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa sejak semalam.

Beliau diminta mengulas tindakan sebuah syarikat produksi yang mengingkari arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila masih meneruskan penggambaran di Kelantan, biarpun kerajaan mengeluarkan arahan tiada pergerakan dan perhimpunan termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya seluruh negara.

Jurey berkata, dia dimaklumkan syarikat produksi berkenaan sudah menghentikan penggambaran, selepas mendapat arahan pihak polis.

“Sesetengah produser meneruskan penggambaran kerana mengejar tarikh tayangan drama. Tetapi, ia tidak wajar kerana PVTM sudah meminta stesen televisyen memberikan kelonggaran kepada penerbit drama.

“Kita faham sesetengah produser mengejar tarikh tayangan yang suntuk. Ada terikat dengan kontrak, tetapi PVTM sudah berbincang dengan stesen televisyen supaya memberi kelonggaran berikutan arahan dikeluarkan kerajaan yang mengarahkan semua aktiviti dihentikan selama dua minggu.

“PVTM tidak mempunyai kuasa menghalang produser meneruskan penggambaran. Bagaimanapun, kami sudah mengeluarkan kenyataan minta pemilik syarikat produksi mematuhi perintah kerajaan supaya tiada pelakon dan kru yang dijangkiti wabak COVID-19,” katanya kepada BH Online.

Beliau berkata, produser seharusnya bertolak ansur supaya pelakon dan kru produksi tidak menjadi mangsa kepada penularan COVID-19 yang kini sudah mencecah 900 kes.

“Ramai mengalami kerugian disebabkan COVID-19, justeru produser drama tidak harus bersikap tamak hingga sanggup mengabaikan keselamatan pelakon dan kru produksi.

“Mungkin kerana tangkapan belum dikuat kuasa, mereka berani mengingkari arahan dan tidak menghiraukan keadaan semasa. Ketika penggambaran membabitkan ramai orang, jadi potensi menyebarkan virus cukup besar.

“Sebab itu, kerajaan minta kita mengehadkan pergerakan dan meluangkan masa di rumah bagi mengelakkan penyebaran virus. Tetapi, nampaknya masih ada syarikat produksi yang berdegil, kita harap kejadian ini tidak akan berulang,” kata Jurey.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X