Jumaat, 20 March 2020 | 11:01am
Ashraf Muslim bergandingan dengan Puteri Aishah membintangi drama Demi yang menjalani penggambaran di Scotland sejak awal Mac lalu. - Foto Instagram Ashraf Muslim
Ashraf Muslim bergandingan dengan Puteri Aishah membintangi drama Demi yang menjalani penggambaran di Scotland sejak awal Mac lalu. - Foto Instagram Ashraf Muslim

COVID-19: Ashraf sedia dikuarantin sekembali dari Scotland

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ashraf Muslim cuak dengan situasi yang melanda seluruh dunia berikutan penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan.

Ashraf yang kini berada di Scotland menjalani penggambaran drama Demi arahan Rahila Ali sejak 8 Mac lalu berkata, dia bimbang dengan wabak COVID-19, biarpun lokasi penggambaran masih terpelihara dan bersih daripada ancaman virus berkenaan.

“Bohonglah jika tidak resah dengan penularan COVID-19. Saya tetap mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang hari. Malah, kami membasuh tangan dengan cecair pembasmi kuman setiap 10 minit.

“Selain itu, kami diberi makan vitamin sebagai antibodi, begitu juga pilihan makanan.

“Penggambaran pula dilakukan dalam rumah dan taman yang tidak dikunjungi ramai. Kami tidak menjalani penggambaran di kawasan tumpuan ramai,” katanya kepada BH Online.

Ashraf berkata, dia bersama rakan gandingan, Puteri Aishah dan kru produksi sedia dikuarantin sekembali ke Malaysia, bulan depan.

Katanya, fikiran terganggu memikirkan dua isteri dan anak-anaknya di Kuala Lumpur.

“Saya tentunya memikirkan banyak perkara mengenai keluarga apabila berjauhan dengan mereka. Lebih lagi, mendengar situasi yang melanda negara disebabkan virus COVID-19.

“Boleh dikatakan saya akan membuat panggilan video setiap hari. Saya nak tahu perkembangan anak isteri dengan melihat depan mata. Saya sentiasa berpesan supaya mereka berhati-hati dan tak perlu keluar rumah, sekiranya tidak perlu.

“Setakat ini, mereka baik-baik sahaja. Saya sentiasa berdoa mereka dijauhi perkara yang tidak diingini,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X