Isnin, 23 March 2020 | 1:27pm
Pengarah, Michael Ang meluahkan kemarahan terhadap produksi yang ingkar arahan kerajaan dalam laman Instagram. NSTP/Aziah Azmee
Pengarah, Michael Ang meluahkan kemarahan terhadap produksi yang ingkar arahan kerajaan dalam laman Instagram. NSTP/Aziah Azmee

Michael Ang bengang

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah, Michael Ang menyifatkan syarikat produksi yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan apabila meneruskan penggambaran mementingkan diri dan tiada otak.

Pemilik syarikat Cube Film Sdn Bhd itu meluahkan kemarahan beberapa hari lalu di laman Instagram (IG) berikutan terkilan dengan beberapa syarikat produksi ingkar dengan perintah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Michael berkata, dia tidak faham dengan sikap sambil lewa sesetengah syarikat produksi yang tidak memandang serius arahan kerajaan, sedangkan ia boleh mengancam nyawa pelakon dan kru.

“Kenapa sukar mahu mematuhi arahan kerajaan? Saya buat rakaman video kerana terkejut mendapat tahu beberapa penggambaran masih diteruskan ketika wabak COVID-19 dalam keadaan membimbangkan.

“Syarikat produksi ini disifatkan tak bertanggungjawab dan tiada otak! Kenapa perlu terburu-buru menyiapkan penggambaran, sedangkan stesen televisyen seperti Astro mengeluarkan arahan meminta menghentikan penggambaran. Malah, Astro bersedia menganjakkan tarikh tayangan kerana memahami situasi melanda negara.

“Saya tidak tahu stesen lain, mungkin penerbit yang masih menjalani penggambaran takut melanggar kontrak. Tetapi, tidakkah keselamatan pelakon dan kru perlu diberikan keutamaan.

“Ini kerana tidak kurang 30 kru dan pelakon yang terbabit setiap penggambaran. Jika salah seorang dijangkiti COVID-19, tidakkah ia akan menyusahkan orang lain,” katanya kepada BH Online.

Pengarah drama Suri Hati Mr Pilot dan Sweet Dreams itu berkata, usaha kerajaan membanteras COVID-19 yang kini membabitkan lebih 1300 kes positif akan menemui jalan buntu sekiranya produksi terus bersikap ‘keras kepala’.

“Saya percaya tempoh dua minggu tidak mampu menghapuskan COVID-19 sepenuhnya. Tetapi, jika masyarakat memberikan kerjasama mengikut perintah kerajaan, sekurang-kurangnya dapat mengelakkan virus berbahaya itu terus tersebar.

“Adakah mahu melihat tindakan keras diambil kerajaan dan tempoh ini dilanjutkan lebih lama? Lebih baik menanggung kerugian sekarang daripada terpaksa menanggung lebih lama, jika masih tak mahu mengikut perintah dan berdegil keluar rumah,” katanya.

Katanya, dia sepatutnya memulakan penggambaran drama Perempuan Tanpa Dosa pada hari pertama arahan Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa, tetapi dia tidak mahu menyusahkan orang lain.

“Syarikat produksi yang berdegil elok dihantar kelas pengajian moral bagi menyedarkan mereka. Tidak perlu memberikan alasan terpaksa menanggung kerugian akibat membayar sewa alatan penggambaran.

“Apa nak susah, pulangkan sahaja alatan penggambaran. Apabila mahu pakai, sewa kembali. Dalam keadaan sekarang, semua orang faham wabak bahaya yang melanda negara,” katanya.

Berita Harian X