Rabu, 25 March 2020 | 8:41pm
Suami Ummi Nazeera, Dr Izzar mengingatkan individu yang mendapatkan rawatan mengesan jangkitan COVID-19 agar bersikap jujur. Foto NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Suami Ummi Nazeera, Dr Izzar mengingatkan individu yang mendapatkan rawatan mengesan jangkitan COVID-19 agar bersikap jujur. Foto NSTP/Khairul Azhar Ahmad

COVID-19 : Tolong kami untuk tolong anda - Dr Izzar, suami Ummi Nazeera bersuara

KUALA LUMPUR: ‘Tolonglah bercakap benar! Kalau pernah mengembara, duduk dekat dengan orang positif COVID-19 atau ada gejala... Beritahu petugas kesihatan.’

Itu nasihat suami pelakon Ummi Nazeera, Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani apabila mendakwa sahabatnya yang juga seorang doktor, ditipu salah seorang pesakit.

Berkongsi kisah sahabat lamanya itu di Instagram, Dr Izzar memberitahu, tindakan pesakit terbabit membahayakan kesihatan orang lain.

“Bukan suruh menipu pun, minta jujur saja. Tolong kami untuk tolong anda,” katanya.

Membuka cerita, Dr Izzar berkata, beberapa minggu lalu, sahabatnya itu terdedah kepada pesakit positif COVID-19.

“Sahabat saya terdedah kepada pesakit positif COVID-19 selama tiga jam tanpa mengenakan pakaian perlindungan (PPE). Kenapa dia tak pakai?

“Sebab pesakit itu tidak beritahu semua orang yang dia baru pulang dari negara berisiko. Bukan saja kawan saya yang terdedah, malah doktor di Jabatan Kecemasan dan wad terdedah tanpa perlindungan. Ini kerana pesakit terbabit tidak jujur ketika ditanya petugas kesihatan.

“Doktor yang terdedah semuanya terpaksa dikuarantin. Jadi kuranglah doktor yang boleh bekerja. Paling menyedihkan, mereka terpaksa berpisah daripada keluarga,” katanya.

Namun, Dr Izzar bersyukur ujian saringan COVID-19 ke atas sahabatnya menunjukkan keputusan negatif dan beliau kembali bertugas.

Dr Izzar turut merakamkan penghargaan kepada rakan setugas yang banyak berkorban sepanjang penularan COVID-19.

“Terima kasih kepada semua rakan seperjuangan dan barisan hadapan. Mereka yang lain, duduklah di rumah... Jom doakan keselamatan dan kesihatan kita semua,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X