Khamis, 26 March 2020 | 2:00pm
Rozita atau mesra disapa Che Ta berharap semua pihak akur dengan PKP agar masalah penularan COVID-19 dapat segera ditangani. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Rozita atau mesra disapa Che Ta berharap semua pihak akur dengan PKP agar masalah penularan COVID-19 dapat segera ditangani. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

COVID-19 : Che Ta ajak rakyat berkorban

KUALA LUMPUR: Menyedari impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada semua pihak, pelakon dan ahli perniagaan, Rozita Che Wan mengajak rakyat berkorban dan menyokong usaha mengekang penularan COVID-19.

Rozita atau mesra disapa Che Ta mengaku sebagai peniaga dan selebriti, banyak projek dan tugasan tergendala akibat PKP, namun semuanya terpaksa ‘ditelan’ demi menjayakan misi membendung wabak berbahaya itu.

“Semestinya penularan COVID-19 memberi impak kepada anak seni dan ahli perniagaan seperti kami. Perbelanjaan mengalir seperti biasa terutama dalam mengisi perut seisi keluarga, namun, pendapatan terhenti.

“Perniagaan juga tak jalan... Penggambaran tertunda. Malah, beberapa tawaran kerja tertangguh. Tidak kurang juga, ada yang berakhir dengan pembatalan.

“Namun, saya reda dengan ujian yang kita lalui ini... Mungkin ada asbab bukan rezeki saya. Risau kalau perkara ini berlarutan. Mana hendak cari duit untuk menampung banyak perkara,” katanya kepada BH Online.

Berharap ‘mendung bertandang akan berlalu pergi’, suami Zain Saidin ini berharap semua pihak akur dengan arahan kerajaan terutama pelaksanaan PKP.

“Bimbang sikap degil segelintir masyarakat, siapa tahu PKP akan berlanjutan lagi.

“Saya harap tidaklah sampai macam itu. Mengikuti perkembangan, saya takut ada negara yang nampaknya sudah tiada daya untuk bertahan.

“Apatah lagi melihat pekerja barisan hadapan termasuk dalam bidang perubatan, tak boleh bayangkan jika kita berada di tempat mereka... Luluh rasa hati ini.

“Kita yang diminta duduk rumah berehat dengan aman pun ada yang cuba ingkar... Cubalah bertimbang rasa,” katanya.

Rozita menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak mementingkan diri sendiri.

“Penularan wabak ini makin berleluasa hingga berlaku pertambahan kes dan jumlah kematian,” kata pemilik empayar perniagaan By RCW itu.

Berita Harian X