Selasa, 31 March 2020 | 11:00am
Nabila mahu peminat menerima dengan baik keputusan bapanya berundur daripada kumpulan Search yang ditubuhkan pada 1981. Foto NSTP/Aziah Azmee
Nabila mahu peminat menerima dengan baik keputusan bapanya berundur daripada kumpulan Search yang ditubuhkan pada 1981. Foto NSTP/Aziah Azmee

Jangan cetus spekulasi Papa tinggalkan Search - Nabila Huda

KUALA LUMPUR: Mengaku tidak terkejut apabila bapa tersayang, Amy Search mengumumkan berundur daripada band rock popular itu, Nabila Huda meminta peminat tidak mengaitkannya dengan perkara negatif.

Merestui tindakan diambil bapa, Nabila bagaimanapun sedih mengenangkan pengorbanan anggota Search meletakkan band di tempat tertinggi dalam arena muzik tempatan.

“Sebenarnya, sudah lama Papa menyuarakan hasrat untuk berundur dari Search. Justeru, apabila dia mengumumkan perkara itu semalam (kelmarin), saya tidak terkejut. Mungkin sudah tiba masanya untuk Papa berbuat demikian.

“Usia Papa bukan muda, sudah 62 tahun. Biarlah Papa berehat dan melakukan perkara yang dia suka selain menjaga kesihatan.

“Cuma tidak dinafikan, rasa sedih tetap ada lebih-lebih lagi mengenangkan mereka sudah bersama sejak sekian lama," katanya kepada BH Online.

Petang kelmarin, Amy atau nama penuhnya, Suhaimi Abdul Rahman mengumumkan pengundurannya daripada Search.

Amy membuat pengumuman itu dalam segmen #ArtisDudukDiam yang disiarkan secara langsung oleh Astro Gempak, kira-kira jam 3.30 petang.

Sambil mengharapkan semua pihak menghormati keputusan bapanya itu, pelakon filem M4M4 ini meminta semua pihak tidak mencetuskan spekulasi mengenainya.

“Janganlah ada yang mengaitkan pengunduran Papa dengan perkara negatif. Setiap keputusan dibuat, Papa sudah fikirkan masak-masak.

“Kalau itu yang dirasakan terbaik buatnya, kita terima sahaja dengan berlapang dada. Tak payah hendak pujuk Papa tarik balik keputusan itu,” katanya.

Nabila mengaku kasihan melihat Papa.

“Sepatutnya dalam usia begitu, dia sudah tidak perlu lagi bekerja. Biarlah dia menghabiskan masa bersama keluarga, buat benda yang disukai seperti berkebun.

“Kepada peminat Papa, terima kasih atas segala sokongan diberi. Papa bukannya bersara daripada menyanyi. Papa tetap membuat persembahan tetapi secara solo,” katanya.

Berita Harian X