Sabtu, 4 April 2020 | 9:50am
Uqasha jalani ujian saringan COVID-19 mengikut kaedah pandu lalu di sebuah pusat perubatan di Kota Damansara, semalam. Foto IG Uqasha Senrose
Uqasha jalani ujian saringan COVID-19 mengikut kaedah pandu lalu di sebuah pusat perubatan di Kota Damansara, semalam. Foto IG Uqasha Senrose

COVID-19: Uqasha Senrose buat ujian saringan

KUALA LUMPUR: Demam berlanjutan sehingga suhu badan mencecah 40 darjah selsius mendorong Uqasha Senrose menjalani ujian saringan COVID-19 di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya.

Uqasha nekad menjalani ujian saringan itu berikutan bimbang kemungkinan memiliki simptom dijangkiti virus berkenaan.

“Saya buat ujian saringan itu semalam bukanlah kerana saya ada hubungan dengan individu dijangkiti. Saya lakukannya kerana bimbang dengan kesihatan insan sekeliling.

“Saya tinggal bersama keluarga. Di rumah ada emak, abah dan anak saudara. Saya tak mahu hanya kerana sifat pentingkan diri, kesihatan mereka terancam.

“Walaupun saya sudah berjumpa doktor dan mengesahkan saya demam biasa, tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, saya jalani ujian saringan COVID-19.

“Saya buat pemeriksaan di sebuah hospital di Kota Damansara dengan menggunakan kaedah pandu lalu,” katanya kepada BH Online.

Mengaku berdebar menantikan keputusan, pelakon filem Hantu Kak Limah ini bagaimanapun lega dia sudah melaksanakan tanggungjawabnya.

“Tak dinafikan memang saya risau. Siapa yang tak takutkan?  Keputusan ujian hanya diketahui selepas tiga atau empat hari.

“Moga tiada apa yang serius. Saya harap peminat jangan risau dan doakan yang baik-baik sahaja untuk kesihatan saya,” pinta pelakon berusia 27 tahun ini.

Video memaparkan Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen menjalani pemeriksaan itu turut dimuat naik di laman Instagram.

Melalui ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan artis mendoakan kesejahteraan Uqasha serta berdoa dia terhindar daripada virus berkenaan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X