Ahad, 5 April 2020 | 2:51pm
Azhar menunjukkan salinan ijazah dan diploma dimilikinya bagi menjawab kecaman netizen. Foto FB Azhar Sulaiman
Azhar menunjukkan salinan ijazah dan diploma dimilikinya bagi menjawab kecaman netizen. Foto FB Azhar Sulaiman

Tengoklah sendiri salinan ijazah tu - Azhar Sulaiman

KUALA LUMPUR: Bengang dengan kecaman netizen yang menuduh dia tidak habis belajar, Azhar Sulaiman memuat naik foto salinan ijazah dan diploma dimilikinya, dalam media sosial.

Mengulas perkara itu, Azhar berkata, dia lebih selesa menunjukkan bukti daripada berperang mulut dengan netizen yang dianggap perbuatan sia-sia.

“Kecaman ini adalah rentetan isu aksi anak gadis saya, Kasih Iris Leona di aplikasi TikTok yang disifatkan netizen sebagai keterlaluan. Dari situ, mereka mempersoalkan kewibawaan saya termasuk mempertikaikan kelulusan akademik.

“Mereka mendakwa saya tidak habis belajar. Daripada saya bertegang urat dengan netizen, lebih baik saya berikan bukti dengan berkongsi foto salinan pencapaian saya dalam bidang akademik.

“Sebelum ini, saya bertindak meletakkan foto sama di ruang komen individu yang membuat tuduhan yang tidak berasas itu... Biar dia baca,” katanya kepada BH Online.

Tambah pelakon filem Abang 92 ini, dia bukanlah cepat melenting apabila dihentam, tetapi biarlah tuduhan yang dilemparkan berasas.

“Macam dalam kes anak saya, komen yang boleh dipakai, saya akur. Tetapi jika tuduhan dibuat tidak berasakan fakta, saya pertahankan.

“Pengalaman yang saya lalui  untuk mendapatkan ijazah ini sangat bermakna. Saya pernah dinasihat berhenti belajar selepas gagal dalam empat semester akibat terlalu aktif berlakon.

“Walaupun malu, saya meneruskan pengajian sehingga tamat. Kemudian saya sambung belajar di luar negara. Justeru, apabila ada yang menuduh saya terkandas dalam pelajaran, sudah tentu saya bangkit untuk mempertahankannya,” ujar aktor berusia 48 tahun ini.

Azhar menuntut di Universiti Teknologi Mara (UITM) peringkat diploma dalam jurusan seni bina sebelum menyambung pengajian di Universiti Newcastle Upon-Tyne, Newcastle, United Kingdom (UK) dalam bidang sama.

Berita Harian X