Isnin, 6 April 2020 | 1:16pm
Pengarah, Rahila Ali memastikan pelakon dan kru mematuhi arahan menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu. - Foto Instagram Rahila Ali
Pengarah, Rahila Ali memastikan pelakon dan kru mematuhi arahan menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu. - Foto Instagram Rahila Ali

COVID-19: Pasukan drama Demi buat ujian saringan hari ini

KUALA LUMPUR: Pasukan produksi drama Demi yang menjalani penggambaran di Inverness, Scotland melakukan ujian saringan COVID-19 di sebuah hospital swasta, hari ini.

Kumpulan produksi drama Demi berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu, sebelum kes penularan COVID-19 ketara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) belum dikuat kuasa.

Seramai 18 tenaga kerja termasuk pengarah, pelakon dan kru yang menjalani penggambaran drama 26 episod siaran RTM tiba di Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Pengarah, Rahila Ali berkata, dia bersama pelakon dan kru mematuhi arahan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

“Kami sudah diingatkan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Bagi yang tinggal seorang diri, mereka dibenarkan pulang ke rumah.

“Bagi yang berkeluarga, produser menyediakan kediaman bagi menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu. Saya belum pulang ke rumah bertemu keluarga,” katanya kepada BH Online.

Mengenai keadaan tenaga kerja lain termasuk dirinya sendiri, Rahila berkata: “Saya bersama pelakon dan kru mengadakan ujian saringan COVID-19 di sebuah hospital swasta, hari ini,” katanya.

Rahila mendakwa, COVID-19 belum menular teruk ketika mereka tiba di Scotland.

“Saya dan produser tidak menjangka ini boleh berlaku. Kami mungkin membatalkan penggambaran jika tahu keadaan tidak selamat,” katanya.

Namun, Rahila berkata, syarikat produksi bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan dan keselamatan semua pelakon dan kru. Sehubungan itu, tidak seorang pun akan terlepas daripada menjalani ujian saringan.

Rahila yang pernah menghasilkan filem Aku Ada Kau Ada berkata, barisan pelakon sepatutnya pulang ke tanah air pada 16 April ini, manakala kru produksi pula pada Mei depan.

“Bagaimanapun, saya ambil keputusan pulang lebih awal selepas penggambaran dihentikan. Produser terpaksa membeli tiket penerbangan lain untuk membawa kami pulang.

“Hanya separuh penggambaran drama Demi sempat diselesaikan. Kemungkinan pasukan produksi akan terbang semula ke Scotland menghabiskan baki penggambaran selepas keadaan selamat dan COVID-19 berakhir,” katanya.

Drama Demi yang diadaptasi daripada novel dibintangi Ashraf Muslim, Puteri Aishah, Ben Amir, Hasnul Rahmat dan Puteri Rayyana Rayqa. Bagaimanapun, Ben pulang beberapa hari lebih awal daripada kumpulan produksi terbabit.

Berita Harian X