Khamis, 9 April 2020 | 10:47am
Foto bersama suami yang dikongsi Mutia beberapa jam sebelum pemergian penyanyi Januari itu. - Foto IG Mutia Ayu
Foto bersama suami yang dikongsi Mutia beberapa jam sebelum pemergian penyanyi Januari itu. - Foto IG Mutia Ayu

Glenn pergi tinggalkan anak usia 40 hari

JAKARTA: Diratapi peminat, pemergian Glenn Fredly, petang semalam, meruntun hati kerana penyanyi Januari itu baru bergelar bapa, lebih sebulan lalu.

Glenn dan isteri, Mutia Ayu, dikurniakan puteri diberi nama, Gewa Atlana Syamayim Latuihamallo yang dilahirkan pada 28 Februari lalu, lapor KOMPAS.com.

Kelahiran Gewa dikongsi Glenn dalam Instagram (IG) dengan menitipkan mesej berbunyi:

“Cinta dan sukacita kami datang dari Tuhan Penguasa Semesta Alam dalam Kasih sayangNya yang selalu mengalir dan semua terjadi indah tepat pada waktunya.

“Terima kasih atas doa dan kebaikan semua sahabat atas kelahiran puteri kami... Gewa Atlana Syamayim Latuihamallo. Let’s rock the world together, Gewa!”

Sementara itu, beberapa jam sebelum pemergian mengejut penyanyi berusia 44 tahun itu, Mutia, 25, sempat memuat naik foto mesra bersama Glenn di IG.

Keterangan foto mengusik hati seolah Mutia sudah dapat menjangka pemergian suami tercinta.

“Ketika Gewa sudah dewasa nanti dan mengerti, Gewa pasti akan berkata bahawa Gewa bangga menjadi anak perempuan ayah,” luahnya.

Glenn menghembuskan nafas terakhir genap 40 hari usia Gewa.

Pada entri itu, Mutia turut menitip doa untuk keluarga kecil mereka.

"Tuhan selalu jaga Kami. I love you @glennfredly309. Hari ini (semalam) 40 hari pasca kelahiran Gewa,” katanya.

Entri berkenaan mendapat lebih 12,000 ucapan takziah daripada selebriti dan peminat.

Sementara itu, Kapanlagi.com melaporkan, keluarga Glenn memohon maaf tidak dapat menerima tetamu yang mahu memberikan penghormatan terakhir kepada penyanyi itu.

Dalam kenyataannya, keluarga Glenn menjelaskan, situasi Indonesia yang sedang dilanda wabak COVID-19 menyebabkan keputusan itu terpaksa diambil.

“Doa rakan-rakan sekalian di mana pun berada sudah lebih dari cukup untuk menguatkan kami dalam rasa duka ini,” katanya.

Dalam surat yang diedarkan kira-kira jam 11 malam waktu tempatan itu (12 tengah malam waktu Malaysia), keluarga Glenn mengesahkan kematian penyanyi itu berpunca daripada meningitis atau radang selaput otak, lapor agensi.

Mengikut kenyataan itu, Glenn atau nama penuhnya, Glenn Fredly Deviano Latuihamallo, meninggal dunia di Rumah Sakit Setia Mitra, Cilandak, Jakarta Selatan akibat meningitis, pada jam 6 petang waktu tempatan semalam (7 malam waktu Malaysia). - AGENSI

Berita Harian X